MELAKA – Hasrat seorang pelanggan menikmati lauk ayam masak berlado yang didakwa dibeli dari sebuah vendor di Hospital Melaka di sini bertukar pengalaman menjijikkan apabila menemui ulat yang masih hidup pada hidangan tersebut.
Kejadian itu tular selepas seorang pengguna Threads menggunakan akaun @pvtnaddy berkongsi beberapa gambar menunjukkan ulat yang sedang bergerak pada bahagian kulit ayam yang dikatakan dibeli oleh rakannya.
Menurut pemilik akaun itu, perkara itu hanya disedari selepas rakannya itu menarik bahagian kulit ayam tersebut ketika sedang menikmatinya.
“You all (Kamu semua) kalau berniaga tolonglah jujur sikit. Kasihan kawan saya beli makanan dekat vendor Hospital Melaka ni. Masa dia makan, dia belum perasan. Lepas dia gigit kulit ayam tu dan selak-selak, baru nampak ada ulat. Harga pula RM8,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa jijik selain mempersoalkan tahap kebersihan makanan yang dijual.
Seorang pengguna, @eyrinnnn._, mendakwa terdapat segelintir vendor yang hanya memanaskan semula makanan tidak habis dijual sebelum menjualnya pada hari berikutnya.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak vendor terbabit, pengurusan Hospital Melaka mahupun Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu. – KOSMO! ONLINE














