fbpx
Gambar hiasan.

Pasaran buruh kekal stabil, pengangguran masih bawah paras guna tenaga penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh negara terus menunjukkan prestasi berdaya tahan apabila jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang setakat April lalu meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis tenaga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jumlah penduduk bekerja turut meningkat kepada 16.82 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

“Keadaan ini mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut Akmal Nasrullah, kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 2.9 peratus pada Mac kepada 3.0 peratus pada April, melibatkan 511,800 penganggur, namun ia masih berada di bawah paras empat peratus yang dianggap sebagai guna tenaga penuh.

Katanya, trend kehilangan pekerjaan juga kekal terkawal dengan 6,197 pekerja direkodkan kehilangan pekerjaan setakat 22 Jun lalu, bersamaan hanya 0.04 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja.

“Angka itu menurun 20 peratus berbanding 7,766 pekerja yang kehilangan pekerjaan pada Mei lalu.

“Pada masa sama, usaha penempatan semula pekerjaan menunjukkan perkembangan positif apabila MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus, daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang setakat 12 Jun,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya seramai 62,644 individu berjaya ditempatkan dalam pekerjaan tahun ini menerusi portal MYFutureJobs termasuk penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN