MELAKA – Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di beberapa kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Melaka Tengah, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohammad Saiful Izzham Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap enam pekerja wanita di premis 7-Eleven dan Café by 7-Eleven di Taman Desa Molek, Taman Seri Duyong, Taman Desa Duyong, Taman Sri Selendang, Taman Pertam Jaya serta Komersial Exora Bukit Beruang antara pukul 4 pagi hingga 5.30 pagi pada 5 dan 6 Jun lalu.
Dalam semua kejadian itu, dia didakwa menggunakan sebilah pisau sebagai senjata maut ketika melakukan rompakan. Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah keluarga.
Hujahnya lagi, tertuduh yang berkahwin tahun lalu baru sahaja kehilangan pekerjaan selain perlu menanggung ibunya yang menghidap tekanan darah tinggi dan bapanya yang mempunyai masalah jantung.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM36,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














