fbpx
Gambar hiasan

Hampir 100 peratus penghuni Penjara Machang berkait kes dadah – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hampir keseluruhan penghuni Penjara Machang, Kelantan terdiri daripada individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah, sekali gus menggambarkan ancaman penyalahgunaan bahan terlarang itu masih berada pada tahap membimbangkan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara keseluruhannya terdapat 41 penjara di Malaysia yang kini menempatkan kira-kira 87,000 penghuni.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 70 daripada setiap 100 banduan mempunyai kaitan dengan kes dadah sama ada sebagai pesalah yang telah disabitkan atau masih dalam tahanan reman.

“Jumlah kes penyalahgunaan dadah berdasarkan rekod terkini ialah 192,000 kes. Jika dibahagikan dengan jumlah penduduk, bermaksud bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia, seramai 560 orang terlibat dengan dadah.

“Kalau kita lihat seperti Penjara di Machang, hampir 100 peratus penghuninya berkaitan kes dadah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai situasi semasa penyalahgunaan dadah sintetik di negara ini.

Menurut Saifuddin, daerah yang paling tinggi penagih dadah adalah Pendang, diikuti Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing.

“Daripada 192,000 kes tadi, julat umur 15 hingga 39 tahun adalah yang paling ramai. Maknanya umur yang masih produktif. Julat umur ini mewakili hampir 75 peratus daripada keseluruhan 192,000 kes tadi,” katanya.

Beliau berkata, angka tersebut diperoleh hasil gabungan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Puspen swasta serta Bahagian Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tentulah naif jika kita mengatakan hanya 192,000 orang sahaja yang terlibat kerana yang belum dilaporkan tentunya menjadikan keadaan lebih serius.

“Namun demikian, angka-angka di penjara, Puspen dan AADK tidak memberikan gambaran bahawa keadaan semakin pulih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun pencapaian Bahagian Narkotik PDRM dari segi rampasan dadah, jumlah serbuan, pemusnahan makmal dadah dan penumpasan kumpulan jenayah terancang menunjukkan peningkatan, usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh AADK semata-mata.

Katanya, AADK yang kini mempunyai 30 Puspen merekodkan kadar kejayaan pemulihan yang baik apabila kira-kira 80 daripada setiap 100 individu yang menjalani rawatan dan pemulihan berjaya dipulihkan.

“Namun jika dilihat dari sudut ekosistem keseluruhannya, saya masih menganggap ancaman dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara,” katanya.

Mengulas lanjut, menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Gelugor) Saifuddin berkata kerajaan kini beralih kepada pendekatan pemulihan dengan melihat penagih sebagai individu yang memerlukan rawatan, bukannya terus dianggap sebagai penjenayah.

Beliau berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi pindaan Akta Penagih Dadah yang telah diluluskan Parlimen bagi mendekriminalisasikan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah secara kecil-kecilan.

“Kita menetapkan bahawa jika seseorang datang secara sukarela ke Puspen untuk mendapatkan rawatan, mereka tidak akan direkodkan sebagai mempunyai rekod jenayah. Ini satu perubahan yang besar.

“Jika mereka hadir secara sukarela untuk dipulihkan, tiada rekod jenayah direkodkan terhadap mereka. Kita tidak bercakap tentang Seksyen 39A, 39B atau 39C.

“Sebaliknya, kita memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya iaitu pemilikan dadah dalam kuantiti kecil serta Seksyen 15(1) yang melibatkan penggunaan dadah,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN