SUBANG JAYA – Polis giat mengesan seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai menceroboh kawasan belakang sebuah rumah di Taman Puchong Prima di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3 petang selepas pemilik rumah dimaklumkan oleh adik perempuannya yang melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Menurut beliau, rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki memakai baju berwarna putih dan seluar jean biru muda berada di kawasan belakang rumah berkenaan.
“Hasil siasatan awal serta semakan CCTV mendapati suspek telah memasuki kawasan belakang rumah pengadu. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kehilangan atau kerosakan harta benda dilaporkan oleh pemilik rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














