fbpx
ANTARA premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing ketika tinjauan Kosmo! di kawasan pusat bandar di Batu Tiga, Klang baru-baru ini. – Saddam Yusoff

‘Semua dimonopoli warga asing, macam kita berniaga di negara mereka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kewujudan ratusan premis perniagaan yang diusahakan oleh warga asing di beberapa bandar utama seluruh negara bukan sahaja semakin berleluasa tetapi juga diusahakan secara terbuka tanpa berselindung.

Fenomena itu memberi kesan kepada peniaga tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan dan restoran menyebabkan mereka tidak dapat bersaing sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan di Klang, Selangor, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor mendapati perniagaan orang tempatan yang bertapak sejak puluhan tahun semakin tenggelam dengan kehadiran perniagaan didominasi oleh warga asing.

Keadaan ini menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan peniaga tempatan, malah penduduk seolah-olah terdapat dalang yang melindungi aktiviti perniagaan itu kerana mereka nampak seolah-olah ‘kebal’ daripada undang-undang.

Persoalan lain yang timbul adakah terdapat pelanggaran syarat permit pekerjaan dan le­sen tumpang atau ali baba yang didakwa semakin berleluasa.

Di Klang, khususnya di pusat bandar di Batu Tiga, ‘wajah’ perniagaan orang tempatan makin ‘terhakis’ kerana didominasi warga asing termasuk operasi bahagian hadapan seperti juruwang atau penjaga kaunter.

Situasi itu tidak lagi tertumpu kepada sektor tertentu, sebalik­nya melibatkan pelbagai premis termasuk kedai runcit, restoran, dan kedai serbaneka yang didakwa hampir sepenuhnya digerakkan oleh tenaga kerja asing.

Seorang peniaga dikenali sebagai Kalai, 55, mendakwa, hampir semua lot perniagaan di kawasan pusat bandar Klang didominasi warga asing.

“Jika pusing semua lot dikuasai warga asing. Semuanya dimono­poli seolah-olah kita berniaga di negara mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, keadaan menjadi lebih ketara pada hujung minggu.

“Mereka tinggal di Malaysia macam raja. Ada yang datang naik kereta mewah. Apabila ada operasi, mereka lari,” katanya.

Tinjauan mendapati hampir keseluruhan premis di Arked Bazaar Klang dikendalikan oleh pekerja asing.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Zain Mustapha, 80, meluahkan rasa kecewa de­ngan keadaan itu dan mendakwa keadaan makin ketara sejak 2019.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang berikutan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga tempatan semakin berkurangan.

“Siapa yang tidak rimas apabila hampir seluruh kawasan ini dipenuhi warga asing seolah-olah untuk mereka sahaja,” ujarnya.

Katanya, lebih membimbangkan pekerja asing yang sebelum ini bekerja di belakang tabir kini makin berani mengendalikan kaunter dan berurusan terus dengan pelanggan.

Dia turut mempersoalkan aspek penguatkuasaan di kawasan itu dan berharap tindakan dapat diambil bagi memastikan warga tempatan tidak terus terpinggir.

Bagi pesara, Chandrakumaran, 70, dia tidak menolak kemungkinan kebergantungan kepada tenaga asing disebabkan kos operasi rendah dan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan sebagai punca.

“Bukan soal negara asal mereka, tetapi pematuhan undang-undang. Jika ikut peraturan, tiada masalah. Namun apabila terlalu ramai orang asing kendalikan premis, jadi orang ramai tertanya-tanya,” katanya.

Di Johor, tinjauan mendapati rata-rata perniagaan termasuk premis menjual kelengkapan rumah dan kedai tayar dikuasai warga asing. Mereka juga seolah-olah bebas berniaga di Pasar Borong Pandan dan turut ‘berkuasa’ di setiap daerah di negeri itu.

Pengerusi Persatuan Bersatu Hak Pengguna Negeri Johor, Abdul Rahman Kunju Mohamed berkata, situasi itu sudah wujud sekian lama dan dianggarkan kira-kira 15 peratus perniagaan dikuasai oleh warga asing.

“Kita lihat kedai perabot, kelengkapan rumah, kedai tayar, malah bengkel kereta dikuasai warga Pakistan dan Myanmar.

“Kedai runcit dan pasar basah pula dikendalikan orang Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myanmar. Mereka bebas bekerja dan ada yang memiliki premis sendiri di dalam pasar,” katanya.

Dakwanya, warga asing turut menguasai bisnes minuman dan makanan seperti restoran makanan laut, tom yam malah di kawasan perindustrian.

“Kedai cuci kereta tumbuh bagai cendawan selepas hujan, pekerjanya adalah warga asing, silap-silap tauke pun orang mereka,” dakwanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan warga asing bebas berniaga kerana mempunyai ‘kabel’ dan dijaga oleh pihak tertentu.

“Persoalan sekarang adalah bagaimana mereka boleh membuka bisnes, mendapat lesen dan permit pekerja,” soalnya.

Lelaki itu tidak menolak kemungkinan golongan tersebut memperoleh lesen ali baba yang ditawarkan oleh orang tempatan atau menggunakan wanita tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan yang sah.

Katanya, warga asing berkahwin secara sah dengan wanita tempatan yang kesunyian termasuk ibu tunggal dan menggunakan nama isteri untuk mendaftarkan perniagaan.

“Apa yang paling kita risau mereka hanya mempergunakan orang kita, cukup tempoh mereka balik ke negara asal,”
ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN