fbpx

‘Mungkin ini konsert solo mega terakhir, datang bawa tisu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Memberikan sepenuh jiwa, penyanyi Datuk Aishah mengakui konsert Aishah 40 Chapters Of Love yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai depan mungkin menjadi persembahan solo mega terakhir selepas empat dekad dalam arena seni.

Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 61, berkata demi meninggalkan memori indah buat penonton beliau sanggup menjalani latihan vokal sekitar empat jam setiap hari selain menghafal lebih 30 lagu yang bakal dipersembahkan di Mega Star Arena nanti.

“Saya sudah berjuang dalam insustri muzik ini sejak lebih 40 tahun lalu dan apabila nekad beraksi untuk sebuah persembahan solo mega ini, saya sanggup memberikan komitmen penuh dengan berlatih setiap hari sejak sebulan lalu.

“Memang pada usia ini cabarannya juga besar terutama dari segi stamina. Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukan konsert sebesar ini lagi atau tidak selepas ini tetapi dengan latihan jitu serta bimbingan profesional, saya pasti mampu melakukannya.

“Sebab itu saya mahu memberikan yang terbaik termasuk dari segi mental dan fizikal selain ingin mereka yang membesar dengan lagu saya serta kelompok peminat muda dapat mengikuti Aishah 40 Chapters Of Love,” katanya ketika ditemui pada sesi bersama media, di sini, semalam.

Kongsinya lagi, beliau menyarankan penonton dapat membawa tisu memandangkan persembahan lebih dua jam yang dibahagikan kepada lima segmen itu juga merupakan momen melankolik sepanjang pengembaraan seni serta kehidupannya.

Malah penyanyi lagu Janji Manismu itu juga mengakui menitiskan air mata ketika latihan sekali gus perlu mengawal emosi sebelum muncul di pentas Mega Star Arena nanti untuk memastikan persembahannya lancar.

“Sebelum ini saya belajar dengan guru vokal, Cikgu Syafi yang maklumkan untuk menyampaikan lagu sedih, kita perlu menghabiskan emosi itu dahulu sebelum naik ke pentas. Kalau tidak, suara boleh pecah.

“Memang benar, apatah setiap segmen yang dirancang dalam konsert mempunyai cerita tersendiri. Kisah cinta, kehilangan, persahabatan dan perjalanan hidup yang saya lalu. Ada turun naik emosi. Ibaratnya ada 40 babak dalam kehidupan saya.

“Jadi, bawalah tisu. Saya serius. Bukan saya sahaja akan bernostalgia, peminat pun sama. Saya masih ingat untuk siapa lagu itu dirakamkan, kepada siapa saya nyanyikannya. Sebak untuk hingga boleh menangis,” ujarnya.

Pada masa sama, Aishah berkata, beliau mahu menyampaikan setiap lagu dengan sepenuh penghayatan tanpa bergantung kepada teleprompter.

“Saya tak mahu guna ‘prompter’ kerana mahu fokus kepada emosi dan cerita yang hendak disampaikan. Jika terlalu bergantung kepada prompter, perhatian kita teralih kepada lirik, bukan kepada penonton.

“Saya ingin ada hubungan dengan peminat melalui ‘eye contact’. Bagi saya, konsert ini bukan sekadar menyanyi, tetapi berkongsi cerita hidup saya dengan mereka.

“Konsert ini hakikatnya sangat peribadi. Semua kenangan itu ada dalam konsert ini, tentunya setiap penonton akan merasai emosi tersebut kerana mereka juga mempunyai pengalaman sendiri,” luahnya.

Turut menitiskan air mata ketika bercerita, akuinya antara repertoire lagu yang bakal dipersembahkan adalah Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Ayah, Wajah Fatwa Pujangga, Melukut Di Tepi Gantang, Di Mana Kan Ku Cari Ganti serta Antara Cinta Dan Kasih.

Tidak hanya segmen melankolik, bekas anggota kumpulan popular asal New Zealand sekitar akhir 80-an, Aishah & The Fan Club itu turut menjanjikan rangkaian lagu rancak sebagai keseimbangan nuansa buat khalayak.

Berharap peminat tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket, tempat duduk berharga antara RM168 hingga RM788 yang boleh diperoleh menerusi platform Ticketmelon. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN