fbpx
Keadaan kesesakan di Cameron Highlands tular di media sosial.

6 langkah tangani sesak di Cameron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Cameron Highlands merupakan lokasi pelancongan tanah tinggi yang paling sesak di negara ini pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Pemandangan ribuan kenderaan yang ‘merangkak’ perlahan-lahan sudah menjadi ‘tradisi’ setiap kali musim cuti di Cameron Highlands.

Anehnya, kesesakan trafik yang saban tahun menjadi keluhan utama tidak sedikit pun menjejaskan populariti Cameron Highlands.

Tag line yang sering disebut-sebut ialah ‘hanya yang kental akan sampai Cameron’.

Namun begitu, kesesakan trafik ini perlu dikurangkan bagi memastikan keindahan alam semula jadi Cameron Highlands tidak terus dibayangi lautan kenderaan.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan dengan membina dan menambah kemudahan parkir bertingkat di kawasan Kea Farm, Brinchang dan Tanah Rata melibatkan lokasi-lokasi yang kerap disinggahi termasuk Cameron Valley Tea House 1 dan 2.

Kesesakan trafik berlaku apabila pengunjung memperlahankan kenderaan masing-masing untuk mencari tempat letak kereta.

Selain itu, infrastruktur jalan perlu dinaik taraf dengan melebarkan laluan di lokasi-lokasi sempit, membina jalan alternatif dan jalan lingkaran selain mempercepatkan projek naik taraf jalan yang sedang dirancang.

Sistem ‘park and ride’ juga boleh diteliti dengan membina kawasan parkir besar di pintu masuk Cameron Highlands seperti di Ringlet dan Simpang Pulai.

Pelancong boleh meninggalkan kenderaan dan menggunakan bas ulang-alik ke lokasi tumpuan, sekali gus mengurangkan jumlah kereta memasuki Cameron.

Sistem tempahan masuk secara digital juga mungkin boleh dikaji pelaksanaannya. Pelawat perlu membuat tempahan awal terlebih dahulu sebelum bercuti di Cameron Highlands pada musim puncak.

Jumlah kemasukan harian boleh dikawal berdasarkan kapasiti kawasan dan konsep ini telah digunakan di beberapa destinasi pelancongan popular dunia bagi mengelakkan lambakan pengunjung.

Pengenalan jadual perjalanan juga antara cadangan yang boleh dipertimbangkan dengan mengagihkan pergerakan pelancong ke lokasi-lokasi tumpuan mengikut masa ditetapkan. Pelancong boleh memilih laluan atau waktu perjalanan yang kurang sesak.

Selain itu, tarikan pelancongan di destinasi kurang popular seperti Ringlet atau Kampung Raja perlu diperluaskan agar pelancong tidak hanya tertumpu di Brinchang, Tanah Rata dan Kea Farm.

Kempen pelancongan luar musim puncak juga boleh dilakukan dengan menawarkan diskaun hotel dan pakej pelancongan bagi menggalakkan pelawat datang di luar cuti sekolah dan hujung minggu.

Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu merancang penyelesaian jangka panjang agar Cameron Highlands kekal sebagai destinasi tanah tinggi kebanggaan negara yang nyaman, lestari dan mesra pelawat.

Jika tiada tindakan yang lebih menyeluruh dan berani diambil, kesesakan trafik akan terus menjadi imej yang sinonim dengan Cameron Highlands.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN