PETALING JAYA – Demam BTS kembali melanda negara apabila ribuan peminat kumpulan sensasi Korea Selatan itu mula berkampung secara maya dan fizikal bagi memburu tiket konsert jelajah dunia yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Disember depan.
Tinjauan di aplikasi Threads mendapati ramai peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Army’ berkongsi pelbagai persiapan termasuk berkumpul di kafe siber.
Selain itu ada di antara mereka menggunakan beberapa peranti serentak dan bersedia seawal pagi bagi meningkatkan peluang mendapatkan tiket yang dijangka habis dalam tempoh singkat.
Menerusi Threads seorang pengguna dikenali sebagai @nrliylia__, dia memuat naik sebuah video memaparkan para peminat BTS sedang bersedia di hadapan komputer di sebuah pusat kafe siber.
“Inilah POV sekarang ini di kafe siber. Penuh yaaaa, akhirnya saya bertarung dalam kereta je sebab tak sangka penuh macam ni,” tulisnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati situasi sama turut dilaporkan di kafe siber yang lain apabila para ‘Army’ memenuhi ruang komputer dipercayai bagi menyertai proses pembelian tiket secara dalam talian dengan menunggu giliran akses.
“Sama weh di kafe siber sini pun,” tulis @ainfth.10 sambil memuat naik video ‘Army’ sedang menunggu giliran ke laman sesawang pembelian tiket.
Seorang lagi pengguna, @vivianying15422 pula optimis terhadap peluang peminat tempatan mendapatkan tiket.
“Wah banyak Army, yakin boleh Malaysia Army. Mesti boleh dapat beli tiket, selamat berjaya,” katanya.
BTS sebelum ini mengumumkan konsert BTS World Tour ‘Arirang’ in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Disember depan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menandakan kepulangan kumpulan tersebut ke Malaysia selepas sekian lama dinantikan peminat tempatan.
Menurut penganjur, jualan tiket prajualan untuk ahli ‘Army’ bermula hari ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada 5 Jun.
Harga tiket pula dilaporkan bermula sekitar RM338 hingga RM1,288 bagi pakej VIP.
Setakat ini, hantaran berkaitan pembelian tiket BTS tersebut telah meraih lebih 135,000 tontonan dan terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE














