PETALING JAYA – Tindakan seorang peminat melakukan aksi ‘stage dive’ ketika persembahan oleh kumpulan OAG mengundang padah apabila dia dipercayai cedera selepas terjatuh akibat gagal disambut penonton.
Insiden itu tular menerusi satu rakaman video yang dimuat naik pengguna Threads, @Zainalrockraggae, memaparkan peminat berkenaan berada di atas pentas sebelum bertindak melompat ke arah orang ramai.
Bagaimanapun, percubaan berkenaan tidak menjadi apabila tiada penonton yang bersedia menyambutnya menyebabkan dia terhempas ke lantai dan terduduk dalam keadaan kesakitan.
Penyanyi OAG, Radhi OAG turut dilihat menghentikan nyanyian seketika sebelum memantau keadaan peminat terbabit dari atas pentas.
Di ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan kecederaan yang dialami lelaki itu berpunca daripada tindakannya sendiri kerana melakukan aksi berisiko tanpa sebarang persediaan.
Pengguna Threads, @lilyanis__ secara sinis berkata lelaki itu seolah-olah menyangka dirinya Kurt Cobain sehingga mengharapkan penonton menyambut lompatannya.
“Dia ingat dia Kurt Cobain ke nak sambut dia stage dive. Rosak show orang bang,” katanya.
Pengguna @Wnamierahh_ pula berpendapat, penonton di bahagian hadapan pentas tidak bersedia kerana tiada sebarang isyarat diberikan sebelum aksi itu dilakukan.
“Ketika muda mungkin perkara seperti ini tidak menjadi masalah, namun apabila usia semakin meningkat, risiko kecederaan juga bertambah kerana keadaan fizikal tidak lagi sekuat dahulu,” kata @Shighaaaaaaa95. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














