TAPAH – Suami wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini semalam berharap golongan malim lebih bertanggungjawab terhadap peserta program mendaki.
Haszman Othman, 61, berkata, dia terkilan dengan kejadian yang menimpa isterinya, Jaslinda Saludin, 49, yang kini masih dicari anggota penyelamat di gunung tersebut.
“Saya tak faham kenapa isteri boleh ditinggalkan bersama seorang sahaja malim dan seorang lagi pendaki yang sakit di atas gunung itu.
“Malim yang mengetuai kumpulan pendaki disertai isteri seharusnya lebih bertanggungjawab dengan peserta program berkenaan dan tidak meninggalkan orang sakit di atas gunung,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Haszman berkata, malim yang mengetuai kumpulan pendaki seramai 13 orang berkenaan gagal memberikan jawapan memuaskan hati apabila dia bertanyakan perkara tersebut kepada lelaki berkenaan semalam.
“Sebagai ketua kumpulan, bagaimana dia boleh meninggalkan peserta sakit di atas bukit dan turun bersama mereka yang sihat?” soalnya.
Dalam pada itu, katanya, Jaslinda yang merupakan seorang penjawat swasta bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor pada Jumaat lalu bagi menyertai pendakian tersebut bersama-sama dua orang rakannya.
Bagaimanapun, hanya rakan-rakannya turun dari gunung berkenaan bahkan telah selamat tiba di rumah masing-masing semalam.
“Isteri memang berpengalaman mendaki gunung. Dia memiliki sekurang-kurangmya 10 tahun pengalaman, bahkan mengikut rekod Jabatan Perhutanan dia juga akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini.
“Jaslinda memang suka aktiviti yang mencabar kemampuan dirinya,” katanya yang turut memberitahu mereka mempunyai tiga orang anak.
Media hari ini melaporkan seorang wanita yang cedera di bahagian kaki ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Batu Putih di sini dilaporkan hilang, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan bagi mencarinya. – KOSMO! ONLINE














