DUNGUN – Dua remaja terkilan gagal menyelamatkan dua beradik, Muhammad Aidil Amsyar Mohd. Zul- Zunaidi, 14, dan Muhammad Amir Ashraf ,15, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, di sini hari ini.
Muhammad Afi Naashif Adli Noone ,15, berkata, dia dan rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi ,14, hampir berjaya menyelamatkan dua beradik tersebut sebelum mereka dihanyutkan arus deras sungai.
Cerita remaja itu, Muhammad Aidil Amsyar dan Muhammad Amir Ashraf mengajak dia dan Muhammad Farish Iqbal mandi sungai sebelum mereka dijadual pulang ke kampung di Kelantan esok untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Kami bertolak dari rumah di Kampung Kolam di sini sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi. Ketika mula mandi, air masih surut sebelum tiba-tiba pasang sekitar enam minit kemudian menyebabkan Aidil dan Amir terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Muhammad Afi Naashif berkata, Muhammad Farish Iqbal juga hampir lemas selepas Muhammad Aidil Amsyar terkapai-kapai tiba-tiba menerkam belakang badannya.
Katanya, Muhammad Farish Iqbal bernasib baik dapat menimbulkan badan semula sebelum berenang ke tebing sungai untuk mengambil sebatang kayu.
“Pada masa sama, Aidil menghampiri saya yang sedang memegang abangnya. Sebaik Aidil berpaut pada badan abangnya, genggaman tangan saya dan Amir terlerai lalu mereka hanyut dibawa arus,” katanya. – KOSMO! ONLINE














