JOHOR BAHRU – Lebih 30,000 penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka membanjiri TM Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Selatan yang bakal beraksi pada final Piala Malaysia menentang Kuching City FC, malam ini.
Kehadiran luar biasa penyokong JDT itu sekali lagi membuktikan aura dan pengaruh besar kelab berkenaan yang sentiasa mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat di seluruh negara.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong JDT, Mohd. Fadzli Sapie berkata, setakat ini sebanyak 110 buah bas dari Johor Bahru telah disediakan bagi membawa penyokong ke ibu negara.
Menurutnya, jumlah keseluruhan bas yang akan bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil dari seluruh negara pula dianggarkan melebihi 300 buah bas.
“Setiap tahun memang suasananya seperti ini apabila JDT beraksi di final. Sambutan penyokong sentiasa luar biasa dan kali ini kami jangka lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan akan hadir.
“Bukan sahaja dari Johor, malah ramai juga penyokong dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain yang akan turun memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah beliau, penyokong JDT bukan sekadar hadir menyaksikan perlawanan, sebaliknya mahu menjadi pemain ke-12 bagi membantu pasukan menjulang trofi Piala Malaysia.
Katanya, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk penyelarasan konvoi bas serta aspek keselamatan bagi memastikan perjalanan penyokong berjalan lancar.-KOSMO! ONLINE.














