PEMINAT filem fantasi, Avatar yang mengetengahkan elemen sains fiksyen dan aksi pengembaraan tentu sahaja mengingati babak Kolonel Miles Quaritch lakonan Stephen Lang saat mengendalikan robot mekanikal (AMP Suit) untuk melawan puak Na’vi.
Adegan itu menunjukkan bagaimana manusia menggunakan robot perisai mekanika atau AMP (Amplified Mobility Platform) Suit untuk misi peperangan.
Mungkin ketika filem tersebut diterbitkan sekitar tahun 2009, khalayak melihat teknologi berkenaan hanya satu dongeng fiksyen bagi memastikan karya Hollywood itu gah di layar perak.
Bagaimanapun telahan itu meleset apabila sebuah syarikat teknologi terkenal China iaitu Unitree Robotics tampil memperkenalkan robot transformasi terbaharu yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), mobiliti canggih dan keupayaan perubahan bentuk sebagai ciri futuristik.
Inovasi itu mencuri perhatian dunia sekali gus memperlihatkan kemajuan besar dalam bidang robotik dan memberi gambaran jelas tentang hala tuju teknologi automasi masa depan.
Memetik South China Morning Post, Unitree Robotics telah melakukan demonstrasi teknologi yang menunjukkan robot yang mempunyai bahagian kokpit berketinggian kira-kira 2.8 meter mempunyai keupayaan bergerak dalam pelbagai posisi serta menukar bentuk mengikut keadaan persekitaran.
Projek robot transformasi ini dianggap satu lonjakan baharu kerana ia menggabungkan fleksibiliti mekanikal dengan sistem AI yang lebih pintar dan responsif.
Kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Unitree Robotics, Wang Xingxing, tujuan membangunkan robot yang dipanggil GD01 itu adalah untuk kegunaan awam dan pelancongan.

Reka bentuk kerangka kokpit GD01 dibuat secara terbuka menggunakan besi pelindung gred tinggi dan boleh dikawal dari jauh menggunakan alat kawalan khas jika memasuki kawasan bahaya.
“Usaha ini menarik bagi sektor pelancongan budaya dan hiburan apabila robot menjadi tarikan utama di taman tema atau pameran.
“Sifatnya yang boleh bertukar bentuk seperti robot Transformers memberikan nilai estetika tinggi selain ia juga boleh digunakan untuk tujuan logistik dan menyelamat terutama menangani bentuk muka bumi ekstrem.
“Ini kerana reka bentuk hibrid yang membolehkan robot bertukar daripada mod dua kaki (berjalan) ke mod empat kaki (merangkak) bertujuan untuk kestabilan di kawasan industri yang tidak rata seperti runtuhan tanah atau zon bencana,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Dalam operasi mencari dan menyelamat misalnya, robot transformasi mampu memasuki kawasan sempit atau berbahaya yang sukar diakses manusia.
Projek robot transformasi membuktikan menggabungkan fleksibiliti mekanikal dengan sistem AI mampu membangunkan komponen yang lebih pintar dan responsif.
Robot tersebut direka menggunakan sistem aktuator berprestasi tinggi yang membolehkan pergerakan lebih stabil, pantas dan tepat.
Dalam pada itu, ia juga dilengkapi sensor pengesanan ruang, kamera visual dan sistem kawalan keseimbangan yang membantu robot bergerak secara autonomi tanpa banyak campur tangan manusia.
Bukan sahaja dilihat mampu memberi manfaat kepada bidang pelancongan dan menyelamat, teknologi robotik pintar juga dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan pekerja dalam industri berat.
Dengannya, tugas berisiko tinggi seperti pengendalian bahan berbahaya atau kerja di kawasan ekstrem dapat dilakukan secara lebih selamat dan efisien.
Mula dipamerkan secara rasmi pada 12 Mei lalu dalam sebuah video menunjukkan Xingxing sendiri memandu dan mengendalikan robot berkenaan untuk membuktikan keupayaan GD01.
Perkara itu secara tidak langsung menjadi topik hanya dalam kalangan peminat dan pemerhati teknologi dunia yang berpendapat robot berkenaan akan memberi kesan ‘melampau’ sekiranya digunakan untuk tujuan keselamatan dan ketenteraan.
Bagi mengelakkan pandangan sebegitu berlarutan, Xingxing dalam satu kenyataan menafikan sekerasnya tentang dakwaan GD01 akan digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Tegasnya, demi mematuhi komitmen antarabangsa dan menjaga reputasi komersial syarikat, GD01 bukanlah aset perang.
“Sebarang pengubahsuaian ekstrem atau ketenteraan yang dilakukan oleh pembeli di luar sana adalah di bawah tanggungjawab pihak ketiga dan menyalahi garis panduan penggunaan selamat syarikat.
“Mesra untuk saya inginkan kepada pengguna di luar sana agar menggunakan GD01 secara berkhemah dan menjurus ke arah keganasan,” katanya.
Xingxing turut mengharapkan khalayak tidak meniru aksi dipamerkan dalam video memperkenalkan GD01 yang memperlihatkan kemampuan robot berkenaan memusnahkan dinding batu bata dengan mudah.
Difahamkan pengeluaran GD01 dibuat secara terhad dan terperinci terlebih dahulu selain masih dalam fasa penyelidikan untuk mengoptimumkan kos yang dianggarkan sekitar 3.9 juta Yuan (RM2.7 juta) sebelum berpindah ke fasa pembuatan berskala besar.













