PUSAT permainan arked menjadi antara lokasi hiburan popular yang menawarkan pelbagai permainan interaktif untuk seisi keluarga.
Daripada permainan perlumbaan kereta, mesin penangkap mainan (claw machine), permainan menembak hinggalah mesin tarian, pelbagai pilihan ditawarkan untuk menguji kemahiran, refleks dan strategi pemain.
Namun, seiring perkembangan teknologi digital, pengalaman di arked kini semakin canggih apabila pemain bukan sahaja menggunakan alat kawalan atau butang, malah berpeluang mengendalikan permainan hanya dengan menggunakan kuasa minda.
Memetik Tech360 TV, pemain arked kini berpeluang mengawal permainan lumba kereta dan mesin penangkap mainan hanya dengan menggunakan kuasa minda menerusi teknologi antara muka otak-komputer atau Brain-Computer Interface (BCI).
Dalam demonstrasi yang dijalankan di sebuah pusat hiburan Brain Pro di Shenzhen, China, pemain dapat mengawal pergerakan kereta lumba mini di trek hanya dengan memberi tumpuan atau memikirkan arahan tertentu.
Melalui sistem yang dibangunkan, pemain hanya perlu memakai peranti khas yang dilengkapi sensor bagi mengesan aktiviti gelombang otak.
Data yang dikumpulkan kemudiannya diproses oleh sistem komputer sebelum diterjemahkan kepada pergerakan tertentu dalam permainan.
Kongsi pempengaruh antarabangsa, Sayan Nath, sistem BCI akan menukar gelombang atau isyarat otak kepada arahan digital dengan hanya memberi tumpuan atau menggunakan minda menerusi alat kawalan yang dipakai di kepala.
“China benar-benar sebuah negara yang sudah jauh ke hadapan. Saya tidak menyangka alat ini dapat mengawal pergerakan kereta lumba mini di trek dan mesin menangkap mainan.
“Teknologi ini membolehkan isyarat elektrik yang dihasilkan oleh otak manusia diterjemahkan kepada arahan digital tanpa memerlukan penggunaan tangan, alat kawalan atau sentuhan fizikal.
“Inovasi itu sekali gus membuka dimensi baharu dalam industri hiburan interaktif serta memberi gambaran bagaimana teknologi masa depan mungkin berfungsi dalam kehidupan seharian.
“Menarik mengenai teknologi ini juga, corak permainan akan menjadi lebih baik sekiranya kita memberi sepenuh perhatian dalam menggerakkan kereta atau cengkaman. Jadi semakin kita tenang, semakin kita dapat fokus dan bermain dengan baik,” katanya.

Peranti lilitan kepala (headband) berwarna jingga atau dipanggil Focus1 merupakan sebuah alat BCI yang dibangunkan oleh syarikat BraindCo berpangkalan di Boston, Amerika Syarikat, namun mempunyai cawangan pengeluaran di Hangzhou, China.
Focus1 diperbuat daripada kombinasi bahan elektronik berprestasi tinggi dan rekaan ergonomik untuk memastikan ia ringan sekitar 105 gram serta selesa dipakai.
Menurut Harvard Business School, para saintis bersama MIT (Institut Teknologi Massachusetts) antara yang memain peranan penting dalam membantungkan Focus1.
Katanya, kerangka luar Focus1 diperbuat daripada bahan plastik polimer yang ringan dan tahan lasak digabungkan dengan fabrik elastik boleh laras dan tidak memberi kesan pada kulit dahi.
“Pada bahagian dalam yang menyentuh dahi, terdapat tiga sensor elektroensefalogram (EEG) khas yang dibuat daripada hidrogel konduktif.
“Kelebihan sensor ini ialah bersifat kering (dry electrodes) yang boleh menangkap isyarat elektrik dengan sangat tepat tanpa memerlukan sapuan gel basah seperti di hospital.
“Litar mikro EEG mempunyai keupayaan tinggi untuk mengesan impuls elektrik sekecil mikro-volt (kurang daripada 1V).
“Bahagian luar dahi terdapat barisan lampu LED yang direka untuk bertukar warna sama ada merah, kuning atau biru bagi mempamerkan tahap fokus pengguna secara visual,” lapor laman rasmi institusi akademik popular itu.
Teknologi itu juga membuatkan Sayan berasa kagum dan menyifatkan inovasi terbabit sebagai satu perkembangan luar biasa dalam dunia teknologi moden.

Katanya, konsep mengawal peranti atau menggerakkan objek menggunakan minda sering dikaitkan dengan drama atau filem sains fiksyen antaranya drama 90-an, The Girl From Tomorrow, namun kini perkembangan teknologi BCI menunjukkan bahawa
idea tersebut kini semakin menunjukkan realiti.
“Ini memang satu pencapaian yang terbaik bagi industri teknologi kerana sebelum ini BCI banyak digunakan dalam bidang perubatan tetapi sekarang teknologi sudah berkembang,” katanya.
Teknologi BCI sebelum ini banyak digunakan dalam bidang perubatan, khususnya membantu pesakit yang mengalami kecederaan saraf, lumpuh atau kehilangan keupayaan untuk berkomunikasi.
Melalui teknologi berkenaan, pesakit dapat mengawal kerusi roda, menaip perkataan atau berinteraksi dengan komputer menggunakan aktiviti otak mereka.Namun, penggunaan BCI dalam industri hiburan memperlihatkan
potensi yang lebih luas yang bukan sahaja menawarkan pengalaman permainan unik.
Malah, ia menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi canggih kepada masyarakat umum dalam suasana yang menyeronokkan dan mudah difahami.
Menurut pemerhati teknologi, Calvin Enderson, pendedahan awal kepada penggunaan BCI melalui permainan mampu meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap teknologi tersebut.
Pada masa sama, ia membantu pengeluar mengumpul maklumat dan maklum balas pengguna untuk menambah baik sistem sebelum digunakan secara lebih meluas.
“Walaupun masih berada pada peringkat awal, teknologi ini turut menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan privasi data, keselamatan maklumat dan etika penggunaan gelombang otak.
“Oleh itu, pembangunan serta pelaksanaannya perlu disertakan dengan garis panduan yang jelas bagi melindungi hak pengguna,” katanya.
Kemunculan permainan arked yang boleh dikawal menggunakan minda menunjukkan bahawa sempadan antara manusia dan mesin semakin kabur.
Sekiranya sebelum ini alat kawalan dianggap komponen utama dalam permainan video, masa depan mungkin menyaksikan pemain hanya perlu berfikir untuk menggerakkan watak atau objek dalam dunia digital.














