fbpx
RADJA akan sekali lagi kembali ke Malaysia menerusi konsert Revolusi Radja 25 Tahun akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai ini.

‘Ini perjalanan nostalgia, emosi raikan 25 tahun Radja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENTIASA optimis, kumpulan popular Indonesia, Radja tidak melihat insiden persembahan Wali Band dihentikan ketika konsert RadjaWali Live in Malaysia di Petaling Jaya, Januari lalu sebagai pematah semangat.

Menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka, kata-kata positif yang dikirimkan peminat selepas aksi rakan seperjuangan mereka ditamatkan lebih awal membuktikan sokongan ramai.

Bahkan menurut vokalisnya, Ian Kasela, hubungan dengan anggota Wali Band juga baik-baik sahaja, sekali gus isu teknikal yang berlaku pada waktu itu disifatkan sebagai asam garam dalam kerjaya seni.

“Saya sebenarnya hanya tahu mengenai kejadian (kontroversi) itu selepas pulang ke Jakarta. Bagi kami, pada waktu itu, saya tidak melihat seorang pun penonton yang kecewa. Saya nampak mereka sangat puas.

“Saya terkejut apabila timbul berita seperti itu (penonton marah). Kami tetap optimis dan bersemangat untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Kami dengan kumpulan Wali tiada masalah apa-apa. Kami hadir untuk menghiburkan, bukan untuk ditakuti,” katanya ketika sidang media pengumuman konsert Revolusi Radja 25 Tahun, baru-baru ini.

Mengaku agak terkesan dengan isu tersebut, Ian menegaskan, Radja hanya fokus memberikan persembahan terbaik kepada peminat selepas diberikan tanggungjawab membuka pentas pada malam berkenaan.

“Saya memang terkejut sehinggakan ‘overthinking’ tapi pada ketika kami diberikan peluang membuat persembahan pertama, kami hanya berikan yang terbaik. Selebihnya kami tidak tahu,” jelasnya.

Sebelum ini, konsert RadjaWali Live in Malaysia di sebuah lokasi di Petaling Jaya kecoh apabila persembahan Wali Band pada segmen kedua dihentikan secara tiba-tiba sebelum sempat menyampaikan karya popular mereka.

NATHALIE Holscher iaitu DJ popular Indonesia antara personaliti yang diundang memeriahkan konsert Revolusi Radja 25 Tahun.

Simbolik 25 Tahun

Mengenai konsert Revolusi Radja 25 Tahun bersempena ulang tahun jubli perak Radja, Ian mengakui mereka tidak sabar untuk beraksi di Stadium Hoki Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 11 Julai ini.

Akuinya, pelawaan Dhyah Prod7ction bersama Infinity Love Creative Ventures sesuatu yang istimewa apabila dapat meraikan simbolik perjalanan seni mereka dalam industri muzik Nusantara bersama peminat tegar.

“Apabila pihak penganjur mengajukan tawaran, kami sangat berbesar hati. Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni Radja memandangkan sokongan ramai tidak pernah pudar.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi perjalanan nostalgia dan emosi untuk meraikan 25 tahun perjalanan muzik kami dengan deretan dendangan malar segar.

“Ikut perancangan, konsert itu nanti turut menampilkan ramai penyanyi jemputan yang tentu sahaja melibatkan penghibur senior serta kelompok penyanyi muda Malaysia,” ujarnya yang turut merancang meraikan ulang tahun Radja di Indonesia.

Pada masa sama, mengulas populariti lagu Cinderella di TikTok, Ian mengakui terharu dendangan Radja diminati generasi muda termasuk karya tersebut yang kembali tular selepas dibawakan semula dalam versi berbeza.

RADJA bersama penganjur konsert ketika ditemui di Jakarta baru-baru ini.

Malam nostalgia

“Bagi kami itu penghargaan terbesar. Siapa sahaja yang mahu menyanyikan semula karya Radja pasti kami sokong,” katanya.

Sementara itu, wakil Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd. Aris berkata, konsert tersebut nanti merupakan prediksi malam penuh nostalgia, emosi dan energi yang mengubati kerinduan penggemar terhadap penampilan solo band besar Indonesia itu.

“Kami akan buat yang terbaik untuk konsert ini. Buat masa ini kita fokus untuk satu malam dahulu, penuhkan kapasiti tempat tersebut yang boleh memuatkan sekitar 12,000 penonton.

“Kami enggan terburu-buru untuk malam kedua, biar satu malam tetapi stadium penuh. Kami mahu kualiti, bukan mengejar duit,” katanya mengulas sama ada mahu mengadakan malam kedua andai tiket ‘sold out’.

Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan sudah mula dijual bermula pada 13 Mei lalu menerusi laman rasmi MyTicket.asia.

 

Nathalie Holscher iaitu DJ popular Indonesia antara personaliti yang diundang memeriahkan konsert Revolusi Radja 25 Tahun.

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN