fbpx
Tangkap layar rakaman status terkini Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji, Osaka dikongsikan di Facebook MPT minggu lalu.

Jawatankuasa khas teliti isu Dara, Amoi, Kelat, rancang lawatan ke Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan memandang serius isu pemindahan tiga ekor gajah Asia milik Zoo Taiping dan Night Safari ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun susulan kebimbangan dan keresahan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan berkata, mesyuarat khas bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah diadakan pada Isnin lalu bagi mendapatkan taklimat terperinci berhubung kronologi serta isu berkaitan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

“Agenda utama mesyuarat adalah untuk mendapatkan penjelasan berkaitan pemindahan tiga ekor gajah Asia milik Zoo Taiping dan Night Safari ke Tennoji Zoo yang kini menjadi perbincangan hangat serta menimbulkan keresahan masyarakat.

“Dalam sesi tersebut, pihak NRES dan Perhilitan telah memberi taklimat mengenai kronologi pemindahan, pematuhan aspek perundangan, isu keselamatan logistik, fasiliti di zoo berkenaan serta aspek kesihatan dan kebajikan ketiga-tiga gajah itu,” katanya.

Jawatankuasa itu menambah, pihaknya mengambil maklum penerangan komprehensif yang diberikan, namun masih memerlukan beberapa maklumat tambahan yang lebih terperinci.

“Jawatankuasa masih memerlukan beberapa maklumat tambahan yang lebih terperinci termasuk meneliti dokumen perjanjian di antara Zoo Taiping dan Night Safari dan Zoo Tennoji Osaka bagi memahami obligasi kedua-dua
pihak.

“Selain itu, jawatankuasa berpendapat bahawa satu tinjauan secara fizikal ke lokasi tersebut wajar dipertimbangkan bagi melihat sendiri keadaan gajah-gajah berkenaan. Langkah ini amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selepas ini didasari oleh fakta yang tepat serta dapat memberikan keyakinan sepenuhnya kepada rakyat,” jelasnya.

Sebelum ini, NRES menegaskan cadangan untuk mengembalikan Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius oleh Zoo Taiping & Night Safari selepas mengambil kira kepentingan awam serta sensitiviti semasa.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, pihaknya menggesa pengurusan zoo untuk memulakan rundingan bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual.

Bagaimanapun, terbaharu Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan memaklumkan, gajah DAK berada dalam keadaan stabil malah mengalami pertambahan berat badan sejak ditempatkan di Osaka, Jepun.

Kata MPT, pemerhatian harian menunjukkan tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian DAK berada dalam keadaan baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN