GUA MUSANG – Seorang buruh kampung ditemukan maut selepas dipercayai diserang dan dipijak sekumpulan gajah liar yang mengamuk di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima laporan mengenai penemuan mangsa, Razali Daud, 55, kira-kira pukul 11.38 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Polis Paloh 2 bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan di lokasi itu turut menjumpai kesan tapak kaki termasuk najis gajah.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Hasil maklumat awal orang awam mendapati, mangsa dipercayai telah diserang oleh sekumpulan gajah liar di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan kerana ia membabitkan serangan haiwan liar dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














