fbpx
MARQUEZ membuat keputusan untuk menjalani pembedahan dan terlepas aksi di GP Catalunya. -AFP

MotoGP: Marquez bakal berehat panjang akibat kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LE MANS, Perancis – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez terpaksa membuat keputusan sukar apabila bersedia menjalani dua pembedahan serentak melibatkan kaki kanan dan bahu, sekali gus memaksanya melupakan aksi Grand Prix (GP) Perancis serta GP Catalunya minggu depan.

Pelumba Ducati itu sebelum ini disahkan mengalami patah tulang metatarsal kelima pada kaki kanan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada pusingan terakhir perlumbaan sprint di Le Mans, kelmarin.

Namun, kecederaan tersebut rupa-rupanya bukan satu-satunya masalah yang menghantui Marquez apabila dia turut mendedahkan bahunya kini berada dalam keadaan tidak ‘sempurna’ susulan skru pada ligamen beralih kedudukan sehingga menyentuh saraf.

Situasi itu memaksa pelumba Sepanyol berusia 33 tahun tersebut mempercepatkan pembedahan bahu yang asalnya dijadualkan dilakukan selepas GP Catalunya.

“Selepas perlumbaan di Jerez, saya mula sedar ada sesuatu yang tidak kena. Doktor mendapati skru pada bahu saya telah beralih satu hingga dua milimeter dan menyentuh saraf.

“Saya tiada masalah menunggang jentera motocross tetapi dalam MotoGP saya ada masalah. Masalah ini menyebabkan saya hilang konsistensi dan kadang-kadang tubuh saya ‘gagal berfungsi’ ketika menunggang jentera MotoGP,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh masa untuk kembali bersaing semula, Marquez menjelaskan ia bergantung kepada tempoh pemulihan selepas pembedahan tersebut.

“Apa yang pasti saya terlepas perlumbaan di Catalunya dan saya akan menjalani pembedahan. Doktor menjelaskan tempoh pulih terutama pembedahan bahu tidak mengambil masa lama untuk pulih, tetapi saya akan lihat bagaimana selepas itu,” tambahnya.

Apa yang lebih membimbangkan, masalah saraf itu dipercayai menjadi punca utama Marquez sering melakukan kesilapan dan terjatuh secara tiba-tiba sepanjang beberapa perlumbaan kebelakangan ini.

Marquez yang kini menghuni tangga kelima keseluruhan kejuaraan, ketinggalan 51 mata di belakang pendahulu dari Aprilia, Marco Bezzecchi, tetap meletakkan sasaran untuk kembali beraksi pada GP Itali di Mugello hujung bulan ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN