KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha politik, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memindahkan lima kes yang dihadapi ke mahkamah itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar pada sebutan semula kes bagi lima pertuduhan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Pihak kami telah memfailkan rayuan (di Mahkamah Rayuan) pada 6 Mei lalu. Buat masa ini, kami ikut prosiding sedia ada dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata, beberapa dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Katanya, masih ada beberapa dokumen lain belum diserahkan dan ia akan dilampirkan dalam masa terdekat.
Selepas mendengar permohonan berkenaan, Hakim Suzana menetapkan 29 Jun ini untuk pengurusan kes.
Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Mad Nurdin menolak Shamsul Iskandar untuk lima pertuduhan rasuah yang dihadapi dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Noor Ruwena memutuskan demikian selepas mendapati Shamsul Iskandar selaku pemohon tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan dokumen antara alasan-alasan ringkas untuk memindahkan kes itu ialah terdapat persoalan dan isu undang-undang yang luar biasa dan melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah akta SPRM 2009 dan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, menerusi afidavit sokongan, Shamsul Iskandar memaklumkan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya, melibatkan persoalan-persoalan undang-undang dan isu-isu yang kompleks.
Antaranya pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) bagi kes-kes melibatkan sumbangan politik, pentafsiran istilah undang-undang yang teknikal di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi akan memainkan peranan penting semasa perbicaraan.
Pada 4 Disember tahun lalu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah.
Sehari selepas itu, Shamsul Iskandar didakwa lagi atas satu pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – KOSMO! ONLINE














