BANGKOK – Seorang lelaki warga Malaysia didenda 3,000 baht (RM364) dan berkemungkinan disenarai hitam daripada memasuki Thailand selepas dia merosakkan kunci tayar milik polis trafik, lapor portal berita Thaiger.
Kejadian berlaku di Hatyai, wilayah Songkhla, baru-baru ini.
Seorang anggota polis trafik mengunci tayar sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz yang memiliki nombor pendaftaran Malaysia selepas ia diletakkan di zon larangan di Jalan Prachathipat.
Selain mengunci tayar, anggota terbabit turut meninggalkan kertas saman pada cermin hadapan kenderaan.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsi di media sosial menunjukkan lelaki berusia 40 tahun itu mengundur kenderaannya untuk mematahkan kunci tayar sebelum meninggalkan tempat kejadian tanpa membayar denda.
Selepas rakaman itu tular, dia tampil ke Balai Polis Hat Yai bersama seorang rakan dan jurubahasa.
Pemandu berkenaan berkata, dia meletakkan kenderaannya di zon larangan untuk bersarapan dan tidak menyedari kehadiran kunci tayar itu kerana tergesa-gesa menghantar rakannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai.
Namun, kenyataannya bercanggah dengan rakaman CCTV memaparkan dia memeriksa tayar serta berbual dengan seorang penunggang motosikal. – AGENSI














