fbpx
Pengurusan kanan PPSM menunjukkan aduan yang diterima daripada PKS dan individu tentang penjualan plak dan sijil menggunakan nama ASEAN Record dengan caj yang tinggi.

Aktiviti jualan sijil, plak ASEAN Record dengan caj tinggi kepada PKS perlu dibendung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu aktiviti yang disyaki tidak sah dan mengelirukan  berhubung penjualan sijil dan plak menggunakan nama  ASEAN Record  kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan bayaran mencecah puluhan ribuan ringgit menimbulkan satu kebimbangan yang perlu dibendung dengan segera.

Presiden  Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM),  Sharif Ahmad berkata,  pihaknya telah menerima  banyak aduan daripada syarikat dan orang awam yang mendakwa mereka telah didekati oleh sebuah syarikat swasta yang menawarkan pengiktirafan tersebut dengan caj yang tinggi.

Menurut beliau, penggunaan nama ASEAN bagi tujuan komersial oleh pihak swasta adalah sesuatu yang meragukan kerana ASEAN adalah  sebuah organisasi antara kerajaan yang dianggotai negara-negara Asia Tenggara dan bukannya entiti perdagangan.

“ASEAN tidak membenarkan nama organisasi itu digunakan untuk tujuan komersial atau pengeluaran sijil dan rekod berorientasikan keuntungan oleh pihak swasta.

Perkara ini selaras dengan amalan organisasi serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang tidak pernah mengeluarkan pengiktirafan komersial melalui entiti persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharif menjelaskan, persatuan juga memperoleh surat pengesahan daripada Sekretariat ASEAN yang mengesahkan bahawa badan serantau itu tidak menyokong atau membenarkan kutipan bayaran daripada orang ramai bagi tujuan pengiktirafan sedemikian melalui pihak ketiga yang tidak diberi kuasa.

Katanya, tindakan menjual ASEAN Record kepada SMEs tempatan dengan nilai bayaran besar bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi mencemarkan reputasi ASEAN dan menyebabkan kerugian kewangan serius kepada syarikat kecil.

“PPSM mengutuk keras penjualan rekod dan sijil ‘ASEAN Record’ yang tidak mendapat kebenaran rasmi. Kami menggesa mana-mana syarikat yang terkesan supaya tampil membuat aduan kepada PPSM dan mendapatkan pengesahan terus daripada Sekretariat ASEAN sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.

Dalam pada itu, Sharif turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan pertimbangan waras dan melakukan semakan terperinci sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan pengiktirafan ASEAN.

“Jangan mudah  terpedaya untuk membayar sejumlah wang bagi pengiktirafan yang meragukan. Jika sesuatu tawaran itu kelihatan tidak rasmi atau melibatkan bayaran kepada individu atau syarikat swasta yang mendakwa mewakili ASEAN, maka ia perlu diragui dan disemak dengan teliti,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ASEAN ialah sebuah badan antara kerajaan yang diwakili oleh ketua-ketua kerajaan negara anggota, termasuk Malaysia yang diwakili Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Mengulas tindakan lanjut, PPSM memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan semua aduan berkaitan sebelum merujuk kes yang disahkan kepada pihak berkuasa penguat kuasa untuk siasatan lanjut.

Selain itu, persatuan tersebut akan terus bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan agensi perlindungan pengguna bagi mengenal pasti serta menghentikan amalan penipuan berkenaan.

PPSM juga merancang menerbitkan panduan khas kepada SMEs bagi membantu mereka mengenal pasti pengiktirafan yang sah serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Kami menggesa  setiap dakwaan berkaitan pengiktirafan ASEAN disemak terus dengan Sekretariat ASEAN melalui saluran rasmi.

“Minta dokumen bertulis yang boleh disahkan serta pengesahan bebas sebelum membuat sebarang pembayaran. Simpan semua resit, rekod komunikasi dan dokumen sekiranya pernah dihubungi atau telah membuat bayaran berkaitan sijil tersebut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN