KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan menggunakan saluran diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) susulan keputusan Norway berhubung pembekalan misil Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kabinet dan langkah seterusnya akan dibincangkan secara diplomatik bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
Menurutnya, pembekalan misil berkenaan merupakan sebahagian daripada keperluan aset pertahanan negara dan kerajaan perlu memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.
“Memang kita maklum tentang pendirian kerajaan Norway itu, tapi dalam masa sama kita sudah maklumkan kepada Kabinet dan kita akan ambil langkah diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan untuk melihat jalan penyelesaian di hadapan.
“Kita tahu bahawa ia sebahagian daripada keperluan aset kita dan kerajaan Norway mempunyai pendirian mereka sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Royale Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, perincian mengenai punca keputusan itu akan dibincangkan menerusi saluran diplomatik yang sedang diusahakan kedua-dua negara.
“Yang paling penting bagi kita adalah kesiapsiagaan kita dan langkah ke hadapan kita,” katanya.
Terdahulu, projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sekian lama tertangguh dijangka berdepan cabaran baharu susulan tindakan Norway melarang eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) ke Malaysia.
Larangan itu dibuat selepas kerajaan Norway mengubah dasar kawalan eksport senjatanya, sekali gus memberi kesan kepada perancangan melengkapkan lima kapal LCS kelas Maharaja Lela TLDM dengan lapan unit NSM bagi setiap kapal sebagai sistem peluru berpandu anti-permukaan untuk menyerang sasaran laut dan darat dari jarak jauh. – KOSMO! ONLINE














