KLANG – Keluarga mangsa tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur bercadang menuntut pampasan kira-kira RM800,000 susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan serta keselamatan kawasan terbabit.
Peguam mewakili keluarga mangsa, M. Partiben berkata, nilai pampasan itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini dalam kes kanak-kanak maut dihempap pokok yang menyaksikan pampasan diberikan akibat kecuaian penyelenggaraan.
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam sesi rundingan bersama pihak berkaitan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dalam masa terdekat.
“Dalam kes ini, kami berhujah wujud unsur kecuaian termasuk gangguan utiliti bawah tanah serta faktor geologi kawasan.
“Namun jumlah RM800,000 itu masih belum dimuktamadkan dan boleh berubah, bergantung kepada hasil rundingan serta penilaian fakta kes,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah sekiranya rundingan pampasan tidak mencapai persetujuan atau dianggap tidak memadai.
Katanya, pihak keluarga berharap pertemuan dapat diadakan dalam tempoh dua minggu sebelum waris, Surya Madhaiha, 27, pulang ke India bagi urusan peribadi dan dokumen rasmi.
“Kami baru menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam. Waris perlu pulang bagi menyelesaikan urusan bank di negara asal,” jelasnya.
Tambah Partiben, keluarga turut menanggung hutang kira-kira RM20,000 melibatkan kos perubatan serta perniagaan kecil yang terhenti selepas kejadian itu.
“Lebih menyediakan, waris terpaksa yang bekerja sebagai buruh di negaranya turut kehilangan pekerjaan hari ini kerana tidak dapat hadir bekerja bagi menguruskan dokumen rasmi kematian mangsa. Selain itu, perlu menanggung bapanya yang mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan seperti jantung,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peguam keluarga mangsa, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi menjelaskan, tuntutan pampasan itu turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk usia, pekerjaan dan tanggungan si mati.
“Waris juga berharap proses rundingan dapat dipercepatkan ekoran menanggung kos tinggi sepanjang hampir dua tahun berulang-alik antara Malaysia dan India bagi menguruskan pelbagai urusan berkaitan tragedi tersebut.
“Tapak itu merupakan laluan utama orang ramai dan kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika penyelenggaraan serta penilaian keselamatan dibuat dengan teliti,” katanya.
Kosmo! pada 27 Februari lalu melaporkan
keluarga mendiang Gali Vijaya Lakshmi yang maut dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur dua tahun lalu menggesa kerajaan supaya
mempercepatkan proses pampasan bagi membela nasib waris yang berdepan tekanan kewangan.
Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024 itu, mangsa berusia 48 tahun dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dan operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) ditamatkan sembilan hari kemudian. – KOSMO! ONLINE














