SUNGAI PETANI – Suspek kes memukul isteri sehingga mengalami keguguran dan cedera parah tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pagi ini bagi menghadapi pertuduhan mencederakan wanita terbabit.
Lelaki berusia 43 tahun itu yang berpakaian penjara dan berpelitup muka tiba dengan menaiki van penjara kira-kira pukul 8.30 pagi.
Abang mangsa dilihat turut berada di pekarangan mahkamah bagi mengikuti prosiding pertuduhan tersebut.
Suspek dijangka dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau objek.
Kesalahan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Suspek ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang bagi kes mencederakan bekas isterinya yang ketika kejadian sedang hamil sehingga koma.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa berusia 39 tahun yang merupakan penjawat awam cedera parah dan kandungan berusia 12 minggu turut gugur selepas dipukul suaminya di sebuah rumah di Ambangan Heights di sini bulan lalu.
Suspek yang melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan di sebuah inap desa di Alor Setar pada 28 April lalu sebelum direman selama tujuh hari.
Polis turut mendedahkan suspek pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan kini mempunyai tiga isteri serta 11 anak.
Dia juga mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes mencederakan, ugutan jenayah serta menyembunyikan kelahiran membabitkan isteri lain dan teman wanita. – KOSMO! ONLINE














