KUALA LUMPUR – Kementerian Pertananan (Mindef) memeterai 24 instrumen strategik dengan jumlah nilai keseluruhan RM3.54 bilion melibatkan 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat (LOI) dan lapan Surat Tawaran Program Kolaborasi Industri (ICP).
Majlis menandatangani kontrak dan memorandum persefahaman (Mou) itu berlangsung sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebahagian besar kontrak atau LOI melibatkan pembelian misil atau peluru berpandu untuk kapal-kapal yang sedang dibina sama ada Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Misi Pesisir (LMS).
Antaranya pembekalan 24 peluru berpandu permukaan ke permukaan bersama Roketsan dan 48 peluru berpandu permukaan ke udara dari LIG Defence and Aerospace Co. Ltd bagi LMS Batch 2 dengan masing-masing berjumlah RM369 juta dan RM372 juta.
Selain itu, LOI turut dikeluarkan bagi perolehan 29 peluru berpandu permukaan ke udara untuk LCS bersama MBDA dari Perancis dengan nilai RM504.5 juta.
“Ini bertujuan untuk kita pastikan bahawa kita mempunyai kekuatan tempur untuk kapal-kapal kita berasaskan cabaran yang dihadapi di Laut China Selatan.
“Selain itu, untuk mengawasi negara yang dikelilingi beberapa laluan penting Selat Melaka dan Laut Sulawesi serta Laut Sulu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, jumlah kali ini adalah lebih rendah berbanding sebelum ini berikutan pembekuan berkaitan proses perolehan.
“Pembekuan ini adalah kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun bukan bermakna tidak ada lagi perolehan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, dari sudut industri pertahanan negara, ICP membawa manfaat yang lebih besar sebagai pemangkin utama dalam membina ekosistem industri pertahanan yang mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap teknologi asing melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
“Fokus utama kini beralih daripada sekadar penyelenggaraan (MRO) kepada pembuatan bernilai tinggi serta inovasi teknologi bagi mendepani persekitaran strategik yang semakin kompleks,” ujarnya.
Antara lain, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan ICP dijangka akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan mempromosikan autonomi strategik jangka panjang negara.
Katanya, ia melibatkan pelaburan dan inovasi AI yang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertahanan serta emperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan pertahanan global.
“Mewujudkan peluang kerjaya berkemahiran tinggi serta meningkatkan nilai eksport pertahanan negara dan menjamin autonomi strategik jangka panjang dan kebergantungan
kendiri (self-reliance),” jelasnya.
Tambahnya, pemeteraian kontrak, LOI serta surat tawaran ICP ini mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui perolehan yang berteraskan kesiapsiagaan, keupayaan cegah rintang (deterrence) dan pembangunan kapasiti jangka panjang. – KOSMO! ONLINE














