fbpx
GANDINGAN Ell Ris dan Fana dikatakan membawa aura dua duet legenda, Achik Spin dan Siti Nordiana.

‘Achik, Siti Nordiana inspirasi kami, tak boleh tiru sepenuhnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah pepatah untuk menggambarkan lambakan kehadiran penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air ketika ini.

Situasi sebegitu baik, namun dalam masa sama, agak malang jika mereka hanya berbekalkan wajah tidak seiring kualiti nyanyian.

Berbeza halnya dengan dua bakat muda, El Riss dan Fana Ibrahim. Jejaka berusia 20 tahun itu membina nama dari platform digital sehingga meledak dengan Lukisan yang meraih lebih 14 juta tontonan, manakala si gadis berusia 18 tahun, sudah mencuri perhatian dengan vokal matang serta kemahiran bermain gitar.

Dua dunia, satu jiwa akhirnya bertemu dalam kolaborasi pertama bawah naungan Awal Muzik Entertainment menerusi single Adat Bercinta.

Mengangkat kisah cinta bukan sekadar indah di bibir, lagu tersebut menjadi nadi luahan jujur tentang realiti hubungan yang disifatkan Riss atau nama sebenarnya Adam Haris Abdul Razak sangat dekat dengan dirinya.

“Lagu ini sangat jujur. Bukan sekadar tentang manisnya cinta, tetapi menyentuh realiti hubungan yang ada turun naik. Saya percaya ramai akan melihat diri mereka dalam kisah ini.

“Saya juga mahu pendengar rasa emosi sebenar, bukan sekadar mendengar melodi. Setiap bait seolah-olah membawa pengalaman hidup saya sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, Fana atau nama sebenarnya Nur Ifriana Mohd. Ibrahim mengakui kolaborasi tersebut membuka ruang baharu buat dirinya, terutama dari segi keserasian vokal dan karakter.

“Saya sangat teruja bila dapat tahu akan berduet dengan Riss. Kami datang dari latar berbeza, tetapi bila digabungkan, hasilnya beri rasa unik.

“Tarikan kimia itu sebenarnya sudah wujud dalam keluarga kami bawah satu pengurusan, tetapi dengan Riss, keserasian itu jadi lebih mudah kerana kami sama ‘gila-gila’ dan cepat serasi,” ujarnya.

Inspirasi Achik, Siti Nordiana

Tidak dapat dielakkan, ramai mula membandingkan aura duet mereka dengan legenda seperti Achik Spin dan Siti Nordiana, namun bagi Fana, perbandingan sekadar inspirasi, bukan bayangan-bayang untuk ditiru.

“Memang ramai kata lagu ini ada vibe Achik dan Nana tapi mereka tetap legenda yang sudah terpateri nama dalam lipatan sejarah muzik tempatan dan kami tetap diri kami.

“Kami tidak boleh meniru sepenuhnya perjalanan mereka.

“Kami jadikan mereka sebagai inspirasi kerana lagu-lagu mereka antara kegemaran kami. Dari situ kami belajar tentang vokal, lenggok dan cara membawa emosi dalam lagu,” jelasnya.

Riss pula mengakui cabaran terbesar adalah keluar daripada zon selesa, apatah lagi mencuba genre lebih ‘jiwang’.

“Saya sebenarnya kurang gemar lagu terlalu jiwang, tetapi kali ini saya cabar diri. Fana pula ada sisi rock, saya lebih kepada balada, jadi gabungan ini beri warna baharu.

“Saya mahu orang nampak kami sebagai identiti sendiri. Kalau ada yang mengaitkan dengan Achik dan Nana, kami anggap itu inspirasi untuk menghidupkan semula jiwa lagu cinta dalam versi moden,” tuturnya.

Menyentuh soal impian, kedua-duanya tidak menafikan harapan membawa Adat Bercinta melangkah jauh, termasuk ke pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Kalau cakap tak berharap, tipulah. Tetapi kami sedar persaingan sangat sengit dengan lambakan lagu balada, pop dan R&B sekarang.

“Bagi saya, kalau ada rezeki, adalah. Kalau tidak, kami tetap bersyukur asalkan lagu ini diterima pendengar,” ujar Riss.

Fana turut berkongsi nada sama, melihat perjalanan mereka masih panjang dan penuh ruang pembelajaran.

“Untuk ke pentas besar seperti AJL mungkin nampak mustahil, tetapi kami tetap berharap. Paling penting, lagu ini sampai ke hati pendengar,” katanya.

Dihasilkan oleh komposer Achik Asrain dan Adek Soraya, lagu tersebut mengangkat tema percintaan dari sudut lebih matang tentang kejujuran dan perjalanan emosi dalam hubungan.

Dengan gabungan dua nama sedang meningkat naik karya tersebut dilihat berpotensi mencuri perhatian peminat.

Single Adat Bercinta kini boleh didengarkan dalam semua platform penstriman digital sejak 24 April lalu satu bukti bahawa dalam lambakan bakat baharu, masih ada suara jujur berani bercerita tentang cinta, seadanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN