fbpx
HUJUNG Indah mengisahkan tentang kebangkitan setelah dilukai dan liriknya sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan pengalaman peribadi Umairah.

‘Hujung Indah untuk Amad, usah putus asa’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENYANYI muda yang semakin mendapat perhatian ramai, Umairah kini kembali dengan single solo keduanya berjudul Hujung Indah.

Lagu berentak balada itu merupakan ciptaan komposer terkenal Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

Menurut Umairah atau nama lengkapnya Ummi Umairah Saiful Anuar, Hujung Indah mempamerkan sisi matang dalam nyanyiannya, namun tetap disampaikan mengikut kesesuaian umurnya yang baru berusia 15 tahun.

“Lagu ini sebenarnya agak mencabar. Bila Mak Rozie (pengurus) beri saya dengar, tertanya-tanya bolehkah saya merakamkan lagu ini kerana ada banyak nada tinggi.

“Tiga kali saya masuk studio untuk proses rakaman. Kali pertama saya tak sihat. Kali kedua kesihatan saya semakin teruk. Kali ketiga barulah okey.

“Lagu ini banyak versi sebenarnya. Versi pertama lain dan paling baharu pun lain. Waktu pertama kali rakam, ‘key’ lagu ini lebih tinggi.

“Tetapi bila Mak Iti ( Datuk Seri Siti Nurhaliza) dengar, dia minta turunkan ‘key’, lembutkan lagi cara nyanyian supaya saya selesa nak bawa sesuai dengan usia,” katanya.

Bercerita tentang penghayatan menyanyikan lagu sarat emosi, Umairah berkata, disebabkan belum ada pengalaman bercinta kerana masih muda, dia membayangkan adiknya iaitu Amad tatkala mendendangkan lagu tersebut.

“Lagu ini mengenai kisah kebangkitan setelah dilukai. Bila saya baca lirik, sedikit sebanyak ada kena mengena dengan saya. Tetapi bukan tentang cinta.

“Lagu ini mengingatkan saya kepada adik saya iaitu Amad. Saya tak tahu kenapa, tetapi setiap kali saya menyanyi, pasti teringatkan dia.

“Seperti yang semua tahu, Amad lalui pelbagai perkara sejak programTalk To My Manager lagi. Jadi saya nampak perjalanan Amad bila dia down. Bila suara pecah pun dia down juga. Dia dah tak dapat nak menyanyi dengan puas.

“Sepanjang perjalanan itu saya selalu berada dengan dia. Jadi, lagu ini saya tujukan untuk dia dan berharap dia tidak berputus asa walau apa pun yang terjadi,” jelasnya.

Anak sulung daripada empat beradik tu juga berharap agar lagu terbaharunya itu dapat menempatkan dirinya di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu.

UMAIRAH (dua dari kanan) melancarkan single kedua berjudul Hujung Indah yang diterbitkan SN Legacy Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. – M. Firdaus M. Johari

Album mini

Selain melancarkan single ketiga yang turut dijadikan sebagai lagu tema drama Bidadari Tanpa Syurga untuk platform penstriman Viu Malaysia, Umairah juga dalam proses untuk menyiapkan album sulungnya.

“Terkejut juga bila Mak Iti beritahu nak buat album mini untuk saya. Saya rasa macam masih terlalu awal tetapi ini semua rezeki.

“Segala penat lelah saya menyanyi daripada kecil, akhirnya membuahkan hasil dengan penerbitan album mini ini. Secara peribadi, ini satu kepuasan kepada saya sebagai seorang penyanyi.

“Album ini akan memuatkan tujuh lagu termasuk yang dialih kepada bahasa Mandarin. Selain balada, ada genre lain juga. Sudah ada beberapa lagu yang siap dirakam. Cuma belum dikeluarkan lagi,” kongsinya.

Perbandingan

Melihat kematangan dalam cara nyanyiannya seiring usia yang semakin meningkat dewasa, mungkin akan ada perbandingan dengan penyanyi-penyanyi lain sedia ada.

Kata Umairah, perkara itu akan sentiasa ada dan dia sendiri sudah lali apabila sering dibandingkan dengan ibu saudaranya sedari kecil.

“Sejak dari kecil saya sudah biasa dibandingkan dengan ibu saudara saya. Bagi saya setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing.

“Tetapi macam selalu saya sebut sebelum ini, kita tak boleh tutup mulut orang. Biarlah mereka nak cakap apa pun, yang penting kita buat yang terbaik sebagai penyanyi,” ujarnya.

Lagu Hujung Indah yang diterbitkan SN Legacy Sdn. Bhd. dan diedarkan Universal Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform digital. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN