PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi jaminan tindakan tegas akan diambil susulan kes keganasan rumah tangga di Sungai Petani, Kedah yang mengakibatkan seorang wanita mengalami kecederaan serius.
Nancy berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan kes tersebut dan menegaskan pihak kementerian tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal diterima, pelaku didapati menunjukkan corak perlakuan jenayah yang serius serta membimbangkan.
“Saya ingin menegaskan yang kita takkan berdiam diri. Untuk makluman, kita sedang menyiasat bersama agensi dan pihak berkaitan.
“Insya-Allah saya akan mengadakan mesyuarat esok selepas urusan rasmi di Sandakan selesai bagi memuktamadkan tindakan yang akan diambil terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa keganasan rumah tangga bukan lagi boleh dianggap sebagai urusan peribadi, sebaliknya merupakan satu jenayah yang perlu segera dilaporkan dan dihentikan.
Nancy pada masa sama merakamkan penghargaan kepada orang ramai termasuk netizen yang menyalurkan maklumat serta menandakan beliau di media sosial berhubung kejadian tersebut.
“Terima kasih buat netizen yang melaporkan dan tag saya di media sosial. Kami sentiasa bersedia dan memantau isu yang berlegar,” ujarnya.
Beliau turut menggesa mangsa atau orang awam yang mengetahui kejadian keganasan rumah tangga supaya segera membuat laporan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita mengalami keguguran selain cedera teruk akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Ambangan Heights, Khamis minggu lalu.
Mangsa didakwa dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah.
Suspek turut dipercayai melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.
Pasangan terbabit dikatakan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun belum mendaftarkan perkahwinan mereka di sini. – KOSMO! ONLINE














