fbpx
Siti (dua dari kanan) ketika hadir di Pejabat MHO, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL/KOSMO!

Bayar habis RM20,000, nama dalam geran bertindih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Impian seorang wanita untuk memiliki sebidang tanah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila lot yang dibelinya pada harga RM20,000 dipercayai turut dijual kepada individu lain sehingga berlaku pertindihan nama dalam geran.

Lebih mengecewakan, mangsa mendakwa masih menunggu tindakan terhadap individu yang disyaki walaupun laporan polis berhubung kes itu telah dibuat sejak 2018.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 55, berkata, dia menandatangani perjanjian jual beli lot tanah berkenaan pada 27 Julai 2015 di sebuah firma guaman di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurutnya, sebanyak RM10,000 dibayar sebagai wang pendahuluan kepada penjual di hadapan peguam, manakala baki RM10,000 lagi dijelaskan secara ansuran bulanan dalam tempoh dua tahun sehingga pembayaran selesai sepenuhnya.

“Selepas semua bayaran dibuat, saya meminta urusan pindah milik dilakukan, namun pelbagai alasan diberikan. Apabila saya membuat semakan di Pejabat Tanah, saya dimaklumkan nama saya tidak terdapat dalam geran dan proses pindah milik tidak dapat diteruskan,” katanya pada sidang media di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Katanya, keadaan menjadi lebih mengejutkan apabila dia mengunjungi lokasi tanah berkenaan pada Oktober 2017 dan dimaklumkan lot tersebut didakwa milik individu lain yang turut mempunyai dokumen pembelian bagi tanah yang sama.

“Saya kemudian bertemu individu terbabit dan dia menunjukkan surat perjanjian jual beli serta mendakwa telah membeli tanah itu daripada penjual yang sama. Ketika itu saya mula mengesyaki lot berkenaan telah dijual kepada lebih daripada seorang pembeli,” ujarnya.

Tambahnya, penjual terbabit pernah berjanji untuk memulangkan wang yang telah dibayar, namun sehingga kini gagal dihubungi. 

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan pihaknya menerima aduan daripada lima individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pembelian lot tanah di sebuah negeri di utara Semenanjung dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM100,000.

Menurutnya, mangsa dipercayai dipujuk oleh seorang individu untuk membeli beberapa lot tanah di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan urusan jual beli itu dilihat meyakinkan kerana perjanjian ditandatangani di hadapan peguam serta dilaksanakan di sebuah firma guaman.

“Kami memohon Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang disyaki terlibat, selain memastikan nasib mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN