SETIAP kali musim memancing tiba, jeti-jeti di Rompin mula dipenuhi pemancing dari seluruh negara yang datang dengan satu tujuan sama iaitu mahu merasai sendiri debaran pertarungan dengan ikan dihajati.
Awal Mei lalu, seramai 28 orang pemancing turun menyertai satu trip santai selama dua hari bersama Jat Rompin Boat Charter (JRBC), diketuai tekong berpengalaman, Zamri Merchong.
Sebanyak empat buah bot digunakan sepanjang trip tersebut, sekali gus menjadikan suasana cukup meriah sejak dari awal perjalanan lagi.
Perjalanan bermula dengan kebanyakan peserta berkumpul di Cheras, Kuala Lumpur sebelum bergerak sekitar pukul 5 petang menuju ke Rompin.
Sekitar pukul 9.30 malam, rombongan akhirnya tiba di destinasi dengan masing-masing sudah mula terasa bahang trip yang bakal berlangsung keesokan harinya.
Jat Rompin
Kesemua peserta menginap di inap desa milik JRBC yang terletak tidak jauh dari jeti. Lokasinya yang strategik memudahkan segala urusan dan cukup selesa untuk kumpulan besar seperti trip kali ini.
Malam pertama dihabiskan dalam suasana santai sambil ada yang mengikat assist hook, menyusun jig dan memeriksa kembali peralatan memancing.
Seperti biasa, pelbagai cerita mula keluar, ada yang berkongsi pengalaman pancing ikan tenggiri besar dan ada memasang impian mahu merasa drag berbunyi nyaring buat pertama kali di laut.
Momen seperti inilah yang sering didambakan, suasana santai sebelum turun ke laut bersama rakan-rakan yang berkongsi minat sama.
Seawal pukul 7 tujuh pagi, semua peserta sudah mula bersiap dan sempat menikmati sarapan di gerai berhampiran sambil membungkus makanan untuk dibawa ke atas bot.
Sekitar pukul 8 pagi, keempat-empat bot mula meninggalkan Jeti Tok Empat.
Deruman enjin bot memecah suasana pagi dengan setiap peserta mula memasang angan-angan terhadap hasil yang bakal dinaikkan nanti.
Keadaan laut pada pagi itu agak baik dengan ombak yang masih ‘bersahabat’, cukup untuk menaikkan semangat semua pemancing di atas bot.

Sasaran spesies ikan
Pada awalnya, ikan tenggiri menjadi target utama trip. Namun selepas beberapa jam mencuba di beberapa lokasi pilihan, hasil yang dicari masih belum muncul.
Keadaan tersebut sebenarnya sudah dijangka oleh tekong kerana ketika itu bukanlah masa terbaik untuk tenggiri aktif bermain di kawasan berkenaan.
Namun, itulah cabaran dan keunikan memancing di laut. Kadang-kadang ia tidak memberi apa yang dirancang, sebaliknya menghadiahkan pengalaman lebih menarik daripada jangkaan awal.
Apabila tenggiri kurang aktif, pelbagai strategi mula diubah.
Trip ini akhirnya bertukar menjadi sesi ‘rojak’ apabila peserta mula mencuba pelbagai teknik pancingan untuk meningkatkan hasil tangkapan.
Ada yang memilih light jigging menggunakan jig-jig kecil, manakala sebahagian lagi menurunkan umpan udang hidup untuk pancing dasar.
Light jigging ternyata memberikan keseronokan tersendiri. Menggunakan set ringan, setiap sambaran ikan terasa lebih menghiburkan, walaupun saiznya kecil.
Dalam masa sama, sesi pancing dasar turut membuahkan hasil yang agak konsisten.
Umpan udang hidup sememangnya cukup efektif kerana mampu menarik perhatian pelbagai spesies ikan di dasar dan pertengahan air.
Aktiviti lain
Ada ketikanya, tekong menyarankan sesi apollo mencari tamban dan sardin.
Walaupun dianggap sekadar mencari ikan umpan, namun suasana di atas bot ketika itu cukup gamat.
Sebaik sahaja kawanan ikan dikesan melalui sonar, masing-masing segera menurunkan apollo dan tidak sampai beberapa minit, mata sabiki mula dipenuhi ikan tamban.
Ada peserta yang kelihatan lebih seronok menaikkan tamban berbanding menunggu rentapan ikan besar.
Di beberapa lokasi tertentu pula, peserta mula mencuba eging dengan harapan sotong sudi menjamah candat yang dimainkan.
Walaupun trip kali ini tidak menghasilkan ikan tenggiri seperti diharapkan, namun hasil keseluruhan tetap memuaskan hati peserta.
Pelbagai spesies ikan berjaya dinaikkan sepanjang hari hasil gabungan bermacam teknik pancingan.
Bagi kaki pancing, tidak semua trip perlu dipenuhi ikan ‘trofi’ untuk dianggap berjaya.
Kadang-kadang pengalaman di atas bot, suasana laut dan masa yang diluangkan bersama rakan-rakan jauh lebih bernilai daripada hasil tangkapan semata-mata.
Trip seperti ini juga memberi peluang kepada peserta untuk keluar daripada rutin biasa.
Dalam satu hari, mereka dapat merasai pengalaman mengunjun jig, memancing ikan dasar, mencari umpan hidup dan mencuba eging.
Penat memang penat, namun itulah pengalaman yang dicari oleh kaki pancing setiap kali turun ke laut.
Trip ‘rojak’ di Rompin ini pastinya akan menjadi antara cerita yang terus diulang setiap kali sesi mengeteh. Pastinya trip seperti ini akan diulang sentiasa.














