fbpx
Korea Selatan merupakan pasukan terbaik dari Asia di Piala Dunia selepas berjaya mara ke separuh akhir pada Piala Dunia 2002.

Mampukah pasukan dari Asia menang Piala Dunia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, para peminat bola sepak Malaysia dilanda demam Piala Dunia yang sedang berlangsung di tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Pada tahun ini, sebanyak 48 buah negara dari seluruh dunia bersaing merebut trofi paling berprestij dalam arena bola sepak itu, berbanding 32 buah pasukan pada edisi sebelumnya.

Situasi tersebut turut menambahkan lagi bilangan pasukan dari Asia yang bersaing dalam kejohanan empat tahun sekali itu.

Jika sebelum ini, hanya empat pasukan dari Asia yang akan bermain di pentas akhir Piala Dunia, namun pada edisi 2026 menyaksikan tambahan lima lagi negara.

Pada Piala Dunia 2026, cabaran dari benua Asia dikibarkan oleh Jepun, Korea Selatan, Qatar, Iran, Iraq, Australia, Arab Saudi bersama Jordan dan Uzbekistan.

Sepanjang penyertaan negara Asia dalam Piala Dunia, kejayaan Korea Selatan melangkah ke separuh akhir pada edisi 2002 kekal menjadi pencapaian terbaik bagi benua ini.

Persoalannya ketika ini, mampukah pasukan dari Asia memenangi kejohanan Piala Dunia, sekali gus menamatkan dominasi negara-negara Eropah dan Amerika Selatan?

Selepas selesai perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan, majoriti negara Asia mencatatkan keputusan memberansangkan, biarpun berdepan pasukan gergasi dunia.

Paling mencuri perhatian adalah skuad Jepun yang berjaya mengikat finalis edisi tahun 2010, Belanda dengan keputusan 2-2.

Sementara itu, Australia dan Korea Selatan pula berjaya menundukkan dua pasukan besar dari Eropah iaitu Republik Czech dan Turkiye.

Manakala Iran, Qatar dan Arab Saudi berjaya mencatatkan keputusan seri bertemu lawan masing-masing, sekali gus membawa pulang satu mata berharga.

Hasil pemerhatian penulis, skuad Jepun kendalikan Hajime Moriyasu merupakan pasukan paling mantap untuk meraih kejayaan di Piala Dunia 2026.

Ini berdasarkan keputusan beberapa perlawanan ujian skuad Samurai Biru sebelum Piala Dunia bermula. Pasukan itu berjaya mengejutkan beberapa kuasa besar seperti England dan Brazil.

Menariknya, pada edisi Piala Dunia terdahulu yang berlangsung di Qatar, Jepun berjaya mencipta sensasi dengan menundukkan Jerman dan Sepanyol di peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, pasukan dibarisi pemain-pemain berpengkalan di bumi Eropah itu akhirnya dikecewakan oleh Croatia di peringkat suku akhir menerusi penentuan sepakan, penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan sebenar.

Justeru tidak hairanlah, jika rata-rata pemain dan pegawai pasukan Jepun ketika ini menyatakan keyakinan untuk membawa pulang trofi Piala Dunia 2026 ke negara Matahari Terbit itu.

Perkara itu bukanlah mustahil untuk dilakukan kerana pasukan bola sepak wanita Jepun pernah mencipta kejutan dengan menjuarai Piala Dunia Wanita 2011 selepas menewaskan AS pada perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN