PETALING JAYA – Walaupun zaman mengorek wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik telah berlalu enam tahun lalu, ramai pencarum ketika ini mula rasa menyesal kerana pengeluaran yang dilakukan masih belum dapat diganti lagi.
Rata-rata mereka yang ditemui meluahkan keadaan yang mendesak ketika ketiadaan pekerjaan dan waktu yang menekan membuatkan mereka tiada pilihan melainkan mengeluarkan wang melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Akibatnya, wang yang dikeluarkan itu masih belum dapat diganti sehingga kini dan jumlahnya masih berkurangan walaupun ada penambahan setiap bulan hasil daripada gaji yang ditolak di samping caruman yang dibuat majikan.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan beberapa pengeluaran khas KWSP ketika pandemik bagi membantu rakyat yang terjejas akibat fenomena global itu.
Melalui i-Lestari, pencarum dibenarkan mengeluarkan sehingga RM6,000, manakala i-Sinar pula membolehkan pengeluaran sehingga RM10,000 atau RM60,000 bergantung kepada baki simpanan, sementara Inisiatif i-Citra pula menawarkan pengeluaran sehingga RM5,000.
Pekerja swasta dikenali sebagai Mizan, 50, berkata, sebolehnya dia tidak mahu mengusik duit KWSP tetapi ketika itu keadaan terlalu mendesak hingga dia mengeluarkan RM15,000.
Katanya, keputusan tersebut dibuat kerana terdesak memandangkan isterinya tidak bekerja, manakala gajinya pula dikatakan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga dan komitmen bulanan.
“Sebelum pandemik saya melakukan beberapa kerja sambilan kerana gaji tak cukup, namun terhenti apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bila PKP, semuanya terjejas. Saya buntu kerana perlu bayar rumah, bil dan belanja harian. Apabila kerajaan tawarkan pencarum boleh keluarkan sebahagian wang KWSP, saya terus ambil untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut Mizan, dia menyesal apabila melihat duit persaraan makin berkurang tetapi apakan daya dia terlalu memerlukannya untuk kehidupan keluarganya.
Azim, 42, berkata, dia terpaksa mengeluarkan RM10,000 daripada simpanan KWSP demi meneruskan kehidupan bersama dua anaknya yang kini berusia sembilan dan tujuh tahun.
Menurut bapa tunggal itu, sebelum pandemik dia telah berhenti kerja kerana perlu menjaga anak yang sakit sebelum memilih menjadi ejen insurans bagi mendapatkan masa kerja lebih fleksibel.
“Rasa menyesal kerana bimbang tidak sempat menggantikan semula wang yang telah dikeluarkan sebelum bersara nanti. Bila sekarang saya dah mula bekerja semula, saya cuba kumpul semula duit KWSP. Tapi saya akui memang susah sedikit walaupun jumlah tu sebenarnya tidaklah banyak mana,” ujarnya.
Di Melaka, guru al-Quran dari Umbai, Abdul Rahman Md. Said, 53, berkata, wang keseluruhan RM20,000 yang dikeluarkan digunakan untuk menyara keluarganya ketika pandemik.
Katanya, selepas beberapa tahun, rasa menyesal masih dirasakan kerana agak sukar dia hendak menggantikannya semula.
“Ketika itu pendapatan terjejas dan pada masa sama lima anak masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan berterusan.
“Walaupun moratorium ditawarkan, ia masih tidak mencukupi, jadi saya terpaksa keluarkan wang KWSP. Memang ada rasa kesal dan sayang kerana duit simpanan hari tua berkurangan, tetapi dalam keadaan darurat ketika itu saya tiada pilihan lain,” katanya.
Tambahnya, dia memang ada niat untuk menambah semula simpanan tetapi masih belum mampu berbuat demikian.
Imbran Abdullah, 53, pula berkata, dia mengeluarkan RM20,000 bagi menampung pelbagai komitmen ketika pandemik.
“Saya tidak menyesal. Sekarang saya masih bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun agak sukar untuk menyimpan semula apatah lagi menggantikan sepenuhnya wang yang telah dikeluarkan,” katanya.
Menurut Imbran, kerajaan wajar membenarkan pengeluaran KWSP ketika krisis kerana langkah itu terbukti membantu ramai rakyat yang terkesan.
Malah, beliau turut menyokong sekiranya kerajaan mempertimbangkan semula pengeluaran bersasar pada masa depan berikutan peningkatan kos sara hidup yang terus dirasai rakyat ketika ini.














