JAKARTA – Polis Jogjakarta menamakan 13 individu sebagai suspek dalam kes penderaan kanak-kanak di sebuah pusat jagaan harian selepas satu klip video yang memaparkan mangsa-mangsa didera tular di media sosial, lapor portal berita Jakarta Globe.
Pusat jagaan tersebut, Little Aresha yang terletak di Jalan Pakel ditutup oleh pihak berkuasa.
Jurucakap Polis Jogjakarta dikenali sebagai Ihsan berkata, semua suspek termasuk ketua yayasan yang mengendalikan pusat berkenaan dan beberapa pekerjanya diberkas.
“Kami amat prihatin dengan kejadian ini dan siasatan jenayah telah dilancarkan. Malam tadi, polis menamakan 13 suspek dan mereka ditahan serta merta,” kata Ihsan.
Terdahulu, Ketua Polis Metro Yogyakarta, Eva Guna Pandia mengesahkan suspek terdiri daripada ketua yayasan, pengurus pusat jagaan harian serta 11 orang pengasuh.
Jumlah suspek dijangka meningkat, selari dengan siasatan yang berterusan.
Berdasarkan siasatan awal, polis berjaya mengenal pasti 53 kanak-kanak, kebanyakan mereka berumur sekitar dua tahun, sebagai mangsa penderaan di pusat jagaan harian tersebut.
Dalam beberapa kes, sebilangan kanak-kanak didakwa diikat semasa tidur. Sebelum arahan penutupan dikeluarkan, kemudahan itu dilaporkan menjaga seramai 103 kanak-kanak.
Ahli majlis tempatan, Eko Suwanto menggesa pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat. – AGENSI














