LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot dapat menarik nafas lega apabila mereka terus mengukuhkan cengkaman dalam kelompok lima teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 2-1 ke atas Everton malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hill Dickinson itu, Livepool membuka tirai jaringan menerusi Mohamed Salah, namun kembali disamakan Beto sebelum Virgil Van Dijk meledak gol kemenangan ketika waktu kecederaan.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan The Reds dalam keadaan cukup selesa untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan apabila memiliki kelebihan lima mata ke atas pasukan tangga keenam, Chelsea.
“Kami mengharungi musim yang tidak menyeronokkan kerana banyak keputusan tidak memihak kepada kami. Saya setuju dengan Virgil (Van Dijk) bahawa permainan kami tidak mencapai standard sebenar.
“Secara jujur, ini bukanlah kedudukan yang kami mahukan dalam saingan liga tetapi ia perlu diterima selepas tercicir banyak mata kerana terlalu memberikan perhatian kepada aksi di pentas Eropah,” kata Slot.
Dalam pada itu, beliau turut memuji karakter barisan pemainnya yang tidak mudah berputus asa sepanjang perlawanan tersebut sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan.
“Saya gembira kerana kami tidak bolos di saat akhir seperti sebelum ini, sebaliknya menjaringkan gol kemenangan. Siapa sangka kami mengutip tiga mata hasil daripada situasi bola mati,” ujar Slot. – AGENSI














