fbpx
AISHA Retno tidak akan melepaskan peluang menghadiri uji bakat pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical pada 29 April ini.

‘Dari kecil tonton PGL, saya akan hadiri uji bakat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Memang impian saya untuk menyertai PGL. Dari kecil saya menonton filem PGL.”

Demikian perkongsian penyanyi Aisha Retno yang menyimpan impian besar untuk menjayakan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Dijangka bakal dipentaskan pada Oktober depan, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, menyahut cabaran untuk menyertai uji bakat yang berlangsung dalam masa terdekat.

“Bila dengar ura-ura teater muzikal PGL akan dibuat semula pada Oktober ini, saya tak nak lepaskan peluang.

“Saya akan pergi ke sesi uji bakat, tengoklah sama ada saya lepas atau tidak.

“Saya lihat dalam media sosial, uji bakat akan diadakan pada 29 April ini. Saya nak pergi sebab tak salah mencuba,“ katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sutera itu akan menyusun jadualnya supaya mendapat rehat yang cukup memandangkan tanggungjawab dalam menjayakan teater bukan satu tugasan mudah.

“Tapi saya perlu membahagikan masa dengan baik supaya cukup rehat sebab menjayakan teater muzikal bukannya mudah.

“Komitmennya besar, di mana kita kena menyanyi secara langsung sambil berlakon,” katanya lagi.

Meskipun tidak mempunyai bakat lakonan yang hebat, Aisha tetap akan mencuba untuk menimba pengalaman baharu sebagai anak seni.

“Memang saya akui ada yang cakap Aisha Retno tak pandai berlakon, tapi saya pernah berlakon cuma tak ‘master’ (mahir) dalam bidang ini.

“Jadi mungkin ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan saya akan cuba.

“Tapi saingan pasti sengit sebab ramai di Malaysia ini yang berbakat, lagu-lagunya pun agak sukar. Jadi saya seru juga orang ramai untuk turut sertai dan meriahkan uji bakat PGL ini,” ujarnya.

Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.

Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN