fbpx

‘Masuk minggu ketiga, saya dah tak canggung tukar lampin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi Alif Satar mengakui berasa kekok untuk menguruskan bayi memandangkan jarak anak bongsu dengan putera ketiganya sekitar tujuh tahun.

Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, berkata, kelahiran anak keempat pada 22 Mac lalu umpama satu pengalaman baharu buatnya dan isteri, Shadila Halid dalam menjaga si kecil.

“Walaupun sibuk dengan urusan kerja, tanggungjawab di rumah jaga anak kena juga bantu terutama pada waktu malam agar isteri boleh berehat.

“Cuma pada awal bayi kami lahir macam kekok sikit kerana anak ketiga kami pun dah berumur tujuh tahun. Jadi boleh dikatakan seperti pengalaman kali pertama menimang cahaya mata.

“Apa pun alhamdulillah, selepas dah masuk minggu ketiga saya tak canggung lagi tukarkan lampin atau uruskan bayi kami ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Raya Sama Sama MR. D.I.Y dengan Alif & The Locos, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, kehadiran permata hati yang diberikan nama Aleyya Fajr iaitu maksud fajar mulia disifatkan semakin mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara keluarganya.

“Kakak serta abangnya teruja dapat adik kecil yang boleh diagah, diajak bercerita dan dikendong. Masing-masing berbuat nak tolong jaga.

“Seronok melalui fasa ini. Inilah antara rahmat yang diperoleh apabila dikurniakan lagi zuriat ketika anak-anak sudah makin besar. Kakak dan abang layan adik, ibu mereka boleh berehat sekejap,” ujarnya.

Terdahulu, rumah tangga Alif dan Shadila yang didirikan pada 15 September 2014 diserikan Alisha Anugerah, 11, Ariana Mecca, 9, dan Muhammad Ali yang kini berusia tujuh tahun.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan jenama MR D.I.Y, Alif mengakui berbesar hati dengan keterbukaan syarikat terbabit yang memberi kepercayaan kepadanya dengan The Locos.

“Boleh dikatakan kami berkolaborasi dengan jenama terbabit hampir dua tahun malah turut menghasilkan tiga lagu termasuk bagi kempen Hari Kebangsaan.

“Pihak berkenaan memberi sepenuh kebebasan untuk saya dan The Locos berkarya dengan menonjolkan semangat kebersamaan,” katanya.

Semangat itu juga dizahirkan di majlis rumah terbuka MR D.I.Y. yang dihadiri 300 tetamu selain meraikan pemenang ‘Raya Sama Sama Dance Challenge’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN