PETALING JAYA – “Tiada orang bagi tekanan termasuk ibu bapa saya. Saya sangat okey, kalau ada (jodoh) okeylah.”
Demikian respons pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha yang menafikan jadual kerja yang padat menjadi punca belum bertemu pasangan hidup.
Menurut Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 33, mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya perlu bersaing dengan tahap kemandirian dirinya yang tinggi serta keluarga yang sentiasa berada di belakangnya.
“Benda ini bukan baik atau buruk dan saya tak persoalkan pun.
“Saya tak rasa sedih atau tertanya-tanya bila bakal suami nak sampai. Adalah sikit perasaan itu cuma mungkin saya dah terbiasa berdikari dan sistem sokongan saya sangat kuat.
“Kalau ada yang datang mengurat, bukan sahaja kena bersaing dengan diri saya yang mampu berdikari tetapi kena berlawan dengan sistem sokongan saya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sesi fotografi drama terbaharunya, Anom Soraya, baru-baru ini.
Pelakon drama Projek: High Council itu percaya ada hikmah di sebalik ketetapan Allah yang masih belum mempertemukan jodohnya.
“Mungkin ada sebab Allah bagi saya jodoh lambat, mungkin dia nak bagi betul-betul terbaik.
“Dia nak saya tahu saya layak dapat yang baik dan saya tahu apa yang saya layak.
“Kalau saya boleh beri sebanyak ini untuk diri sendiri, maka saya nak pastikan jodoh saya nanti dapat beri lebih daripada itu,” ujarnya.
Ditanya mengenai kriteria lelaki yang dirasakan layak untuk hidup bersamanya, Daiyan hanya berharap jejaka itu mampu menghargai nilai dirinya.
“Saya tak tahu lelaki yang saya layak, itu rahsia Allah. Jodoh kita Allah dah tetapkan, mungkin sampai masanya saya akan tahu.
“Mungkin yang boleh bawa saya ke jalan lebih baik atau buat minda dan hati saya ke tempat yang saya tak pernah pergi.
“Orang yang datang kena beri sesuatu yang saya terfikir ‘sekarang saya tahu kenapa awak diciptakan buat saya’.
“Orang itu kena buat sesuatu yang saya tak pernah rasa, bagi keselamatan dan satu cinta yang saya tak tahu, ” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini, Daiyan sering dihambat dengan pertanyaan mengenai jodoh namun dia tidak pernah terburu-buru dalam soal itu. – KOSMO! ONLINE














