fbpx

Anak-anak wajib baca al-Quran, solat sunat setiap malam – Norish Karman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menerapkan asas agama serta iman yang kuat, pelakon Norish Karman mewajibkan kelapan-lapan anaknya membaca al-Quran setiap malam.

Norish atau nama sebenarnya, Nor’Ashikin Karman, 52, berkata, amalan yang sudah menjadi rutin harian itu turut disertai solat sunat dua rakaat sebelum tidur.

“Saya jadikan al-Quran sebagai asas untuk anak-anak selain wajib menunaikan solat sunat.

“Saya akan marah sekiranya mereka tidak melakukannya. Apabila bangun tidur pula, mereka wajib mandi, solat sunat dua rakaat dan kami akan berjemaah bersama-sama,” katanya ketika tampil dalam sebuah program audio siar.

Menerusi sesi bersama pelakon, Adlin Aman Ramlie dan Datuk Khairul Anwar Salleh, ibu tunggal itu berkongsi amalan lain yang dilaksanakan mereka sekeluarga termasuk membaca surah Yasin dan Al-Kahfi.

“Selepas itu (solat) kami akan membaca Yasin dan Surah Al-Kahfi. Kami juga akan meletakkan botol air di tengah-tengah ketika membaca Al-Quran,” ujarnya

Pada masa sama, pelakon filem Sayang Salmah itu turut menekankan kepentingan memilih pasangan hidup berlandaskan agama.

“Saya didik anak lelaki supaya mencari bakal isteri yang setanding ilmu agama. Kalau lebih tinggi, itu lebih baik.

“Jangan risau jika isteri lebih tinggi ilmu agama kerana mereka yang akan mendidik anak-anak di rumah,” jelasnya.

Dalam wawancara itu, Norish tidak ketinggalan mengulas peranan wanita berstatus isteri dalam membentuk keperibadian anak.

“Isteri adalah madrasah anak-anak. Jadi bakal suami perlu mencari isteri yang berteraskan agama kerana di situlah terletaknya kejayaan atau kegagalan seorang suami.

“Kalau suami keluar bekerja dan isteri tidak mampu membimbing anak-anak, bagaimana mereka hendak dibesarkan dengan baik,” katanya.

Sejak minggu lalu Norish menjadi tumpuan ramai selepas anak sulungnya mendedahkan keadaannya yang sakit hingga tidak dapat bekerja.

Mempunyai lapan mulut lagi yang perlu disuap membuatkan ramai menaruh simpati malah nasibnya turut meraih perhatian usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN