TANAH MERAH – Seorang penternak lembu cedera selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang daripada enam lelaki yang dipercayai mencuri lembu di ladang kelapa sawit di Felda Kemahang 1 di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun cedera yang di pipi dihantar ke Hospital Tanah Merah di sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Seorang penduduk, Hassan Ibrahim, 44, berkata dia menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada rakan mangsa pada pukul 3.30 pagi.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa menerima panggilan daripada penjaga ladang yang melihat sebuah motosikal roda tiga dan dua buah motosikal masuk ke kawasan tersebut.
“Mangsa kemudian bergegas ke lokasi bersama 11 penternak lain untuk menangkap enam lelaki tersebut yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri lembu.
“Mangsa berpecah daripada penternak lain sebelum mereka terdengar tiga das tembakan amaran. Mangsa dan dua rakannya dikatakan terserempak dengan salah seorang suspek selepas membuka lampu yang dipakai pada dahi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hassan memberitahu, suspek dipercayai melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.- KOSMO! ONLINE














