fbpx
Pengoperasian Unit Hiperbarik dengan prasarana Multiplace Hyperbaric Chamber (MHC) itu merupakan yang pertama dan satu-satunya di hospital pengajar universiti Malaysia.

Hiperbarik pertama universiti di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 15 Mac lalu, melakar satu lagi sejarah buat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) apabila Unit Perubatan Hiperbarik di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) telah memulakan operasinya secara rasmi.

Penubuhan unit itu bukan sahaja melengkapkan spektrum perkhidmatan klinikal HoSZA sebagai hospital pengajar, malah meletakkan institusi tersebut sebagai peneraju dalam bidang perubatan hiperbarik di Malaysia, khususnya di sebelah Pantai Timur. Pengoperasian Unit Hiperbarik dengan prasarana Multiplace Hyperbaric Chamber (MHC) itu merupakan yang pertama dan satu-satunya di hospital pengajar universiti Malaysia.

Terapi oksigen hiperbarik atau Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) merupakan satu kaedah rawatan moden yang membolehkan pesakit diberikan oksigen tulen dalam persekitaran bertekanan tinggi.

Dalam keadaan ini, jumlah oksigen yang larut dalam plasma darah meningkat secara signifikan, sekali gus membantu mempercepat proses penyembuhan tisu, pertumbuhan salur darah baharu, melawan jangkitan bakteria serta membantu memulihkan tubuh mengalami kekurangan bekalan oksigen (hypoxia).

DR. AZLIE (tiga dari kiri) memberi penerangan mengenai kelebihan MHC di HoSZA.

Menurut Pengarah HoSZA, Prof. Madya Dr. Salwani Ismail, penubuhan unit itu merupakan satu bentuk pelaburan strategik yang memberi impak besar kepada sistem kesihatan di rantau ini.

Ia juga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh perkhidmatan rawatan lanjutan dan berteknologi tinggi di hospital berkenaan.

“Pengoperasian Unit Perubatan Hiperbarik ini jelas mencerminkan komitmen berterusan HoSZA dalam menyedia rawatan berteknologi tinggi serta berimpak besar kepada pesakit.

“Ia bukan sahaja memperluaskan akses kepada rawatan khusus, malah mengurangkan kebergantungan pesakit kepada pusat rawatan di luar negeri.

“Ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti dan keberkesanan rawatan di Pantai Timur,” katanya kepada K-Kampus.

Jelas Dr. Salwani, salah satu keunikan utama unit itu adalah penggunaan MHC iaitu ruang rawatan bertekanan tinggi yang mampu menempatkan beberapa pesakit secara serentak (maksimum tujuh pesakit) bagi setiap sesi rawatan.

KEMUDAHAN itu menawarkan kelebihan dari segi kecekapan rawatan dan keselamatan klinikal.

Ditanya kelebihan lain MHC, Dr. Salwani memberitahu, ia lebih sesuai untuk kes kritikal atau pesakit yang memerlukan pemantauan rapi, selain rawatan boleh dijalankan kepada beberapa pesakit dalam satu-satu masa.

Pada masa sama, ruang berbentuk kapsul berona putih itu juga membolehkan pemantauan secara langsung dilakukan petugas kesihatan di dalam chamber (bilik).

Sementara itu, Dr. Salwani mengakui bahawa penubuhan Unit Perubatan Hiperbarik HoSZA bukan berlaku dalam tempoh singkat.

MHC mampu menempatkan tujuh orang pesakit yang memerlukan rawatan hiperbarik.

Hal ini kerana ia melibatkan perancangan beberapa tahun merangkumi pembangunan infrastruktur, latihan kepakaran khusus dan pematuhan kepada piawaian keselamatan antarabangsa.

Kejayaan itu adalah hasil sinergi pelbagai pihak terutama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Pengurusan Tertinggi UniSZA, Pengurusan HoSZA dan pasukan klinikal serta teknikal yang terlatih.

Dari segi perbelanjaan pula, pembangunan fasiliti itu melibatkan kos signifikan meliputi pembelian chamber, sistem keselamatan dan pembangunan modal insan.

Namun, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu memberi pulangan besar dari segi peningkatan kualiti rawatan dan akses kesihatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Pakar dan Ketua Unit Perubatan Hiperbarik HoSZA, Dr. Azlie Hassan berkata, HBOT memainkan peranan penting sebagai rawatan utama (definitive) bagi keadaan kritikal tertentu.

Katanya, ia termasuklah keracunan karbon monoksida dan penyakit penyelaman (decompression sickness).

Jelasnya, HBOT turut diiktiraf sebagai rawatan penting berasaskan bukti klinikal kukuh dalam merawat penyakit berkaitan tisu-tisu bermasalah dan jangkitan kuman kompleks.

Dia menambah, HBOT boleh merawat kes-kes melibatkan iskemia kronik (bekalan darah yang tidak mencukupi ke tisu atau organ).

“Di Unit Perubatan Hiperbarik HoSZA, antara penyakit lain yang boleh dirawat adalah Air or Gas Embolism; Carbon Monoxide (CO) Poisoning; Decompression Sickness; Enhancement of Healing in Selected Problem Wounds; Crush Injury, Compartment Syndrome, and Acute Traumatic Ischemia dan Central Retinal Artery Occlusion.

“Selain itu, penyakit Clostridial Myositis and Myonecrosis (Gas Gangrene); Exceptional Blood Loss (Severe Anemia); Intracranial Abscess; Necrotizing Soft Tissue Infections; Refractory Osteomyelitis; Delayed Radiation Injury (Soft Tissue and Bone Necrosis); Compromised Skin Grafts and Flaps; Acute Thermal Burn Injury dan Idiopathic Sudden Sensorineural Hearing Loss juga boleh dirawat di sini,” katanya.

Ujar Dr. Azlie, pesakit yang sesuai berdasarkan indikasi seperti penyakit dan simptom dinyatakan boleh mendapatkan rawatan di unit tersebut.

“Sekiranya pesakit perlu mendapatkan rawatan, doktor akan menjalankan konsultasi bersama pesakit bagi menilai kesesuaian rawatan hiperbarik,” katanya.

Tambahnya, pengoperasian unit itu memberi impak besar kepada sistem kesihatan di Terengganu, khususnya dan di wilayah Pantai Timur secara amnya.

Hal ini kerana ia mampu mengurangkan keperluan pemindahan pesakit ke pusat rawatan di luar negeri.

Selain itu, ia membantu mempercepatkan akses kepada rawatan kritikal, selain mengurangkan kos serta beban logistik kepada pesakit dan keluarga.

“Secara keseluruhan, ia menyumbang kepada peningkatan kualiti dan hasil rawatan pesakit di wilayah atau kawasan ini,” katanya.

Jelas Dr. Azlie, sebagai hospital pengajar milik UniSZA di bawah KPT, kewujudan unit itu turut membantu membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang yang kian berkembang itu.

Pada masa sama, HBOT turut menjadi platform latihan klinikal kepada doktor, jururawat dan paramedik dalam meluaskan kepakaran mereka.

Unit itu juga menggalakkan penyelidikan dalam bidang perubatan hiperbarik dan perubatan menyelam, selaras dengan peranan HoSZA sebagai pusat rujukan serta kecemerlangan akademik.

Ujar Dr. Azlie, penubuhan Unit Perubatan Hiperbarik yang diterajuinya itu mencerminkan komitmen HoSZA dalam membawa teknologi rawatan moden ke Pantai Timur.

Bagi jangka masa panjang, unit itu komited dan berpotensi menjadi pusat rujukan serantau, hab latihan perubatan hiperbarik serta platform kolaborasi antara disiplin.

“Ia termasuk disiplin kecemasan, pembedahan, perubatan dalaman, ortopedik, oftalmologi dan otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak) serta rehabilitasi.

“Bertepatan dengan moto yang kami junjung, ‘Where oxygen heals, beyond pressure’, mencerminkan keupayaan terapi hiperbarik dalam memulihkan kehidupan melangkaui batas tekanan.

“Ia juga seiring moto HoSZA, ‘Kesihatan Nadi Kehidupan’ yang menegaskan bahawa setiap rawatan demi memastikan kehidupan yang sihat dan bermakna,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN