PETALING JAYA – “Geng cop parking (parkir) dah serang aku, wei!”
Itu perkongsian seorang lelaki yang memaklumkan menerima ancaman daripada beberapa individu selepas dia mendedahkan kegiatan ‘cop parkir’ di kawasan kediamannya, semalam.
Menerusi perkongsian terdahulu, lelaki itu memberitahu kegiatan tersebut berlaku di Bayu Puteri di Bakar Batu, Johor Bahru.
Menggunakan profil @Taqwaasbar di media sosial, lelaki berkenaan turut mendedahkan beberapa gambar lot parkir yang diletakkan kon beserta amaran keras supaya ia tidak ‘diceroboh’ penghuni lain.
“Tak faham aku kadang dengan jenis orang yang cop ‘parking’ ni,” katanya ringkas.
Malah, tangkap layar mesej kecaman daripada individu lelaki dan wanita juga didedahkan termasuk ugutan keretanya akan dicalarkan jika terus menularkan isu berkenaan.
Selain mendakwa telah tinggal lama di kawasan tersebut dan tidak pernah timbul isu seperti yang didedahkan lelaki itu, dia juga digesa supaya berdepan jika tidak berpuas hati dengan ‘kaedah’ tersebut.
Pendedahannya itu meraih perhatian orang ramai yang rata-rata mengecam golongan ‘cop parking’ dan menggesa supaya lelaki itu membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Selain itu, ada juga yang telah ‘menyerang’ akaun kedua-dua individu tersebut sehingga mereka akhirnya didakwa telah mengubah akaun mereka ke mod privasi.
“Boleh lapor polis. Bukti dah ada, siap nak calarkan kereta. Lepas tu nombor rumah pun ada, senang,” cadang seorang pengguna.
“Tolong lapor polis. Perempuan tu dah mengancam nak rosakkan kereta,” ujar @Rastafarimother.
“Kalau berani tak payah private (tukar ke mod privasi) la, woi! Semua nak ‘jumpa’ kau orang ni,” komen netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE














