PETALING JAYA – Servis bergerak dari rumah ke rumah (D2D) bukan satu fenomena ‘kebetulan’, sebaliknya refleksi kepada tekanan ekonomi serta transformasi digital.
Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Asia E University, Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, ramai anak muda di bandar mencari sumber pendapatan segera ekoran tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, D2D menjadi pilihan rasional kerana tidak memerlukan modal besar atau kelayakan akademik tinggi.
“Bagi sebahagian anak muda, ia memang satu bentuk ‘economic survival’, namun pada masa sama, ia juga mencerminkan transformasi kepada ekonomi digital yang lebih fleksibel.
“Dalam jangka pendek, D2D membantu mengurangkan kadar pengangguran dan menyerap tenaga kerja yang tidak dapat ditampung oleh sektor formal. Ini memberi kesan positif kepada kestabilan sosial dan ekonomi,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, keadaan itu juga memberi kesan positif kepada kestabilan sosial dan ekonomi, namun beberapa implikasi perlu diberi perhatian dalam jangka panjang.
“Jika terlalu ramai kekal dalam pekerjaan berkemahiran rendah, negara berisiko terperangkap dalam perangkap produktiviti rendah.
“Model tanpa premis memang menjimatkan kos sewa dan utiliti, tetapi ia tidak bermaksud premis fizikal akan pupus. Sebaliknya, fungsi premis akan berubah lebih kepada showroom atau perkhidmatan nilai tambah,” ujarnya.
Katanya, cabaran terbesar ialah perlindungan sosial pekerja gig seperti caruman persaraan dan keselamatan kerja yang masih belum menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau berpandangan peningkatan D2D turut didorong oleh permintaan pelanggan.
“Masyarakat hari ini lebih menghargai masa, kemudahan dan keselesaan. Selepas pandemik, budaya menerima servis ke rumah menjadi norma baharu,” katanya.














