fbpx
Kepuasan apabila dapat memancing ikan saiz mikro dengan set pancing tanago.

Tanago, seni halus dalam dunia memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI Jepun, teknik pancing­an ini dikenali sebagai ‘tanago’ iaitu satu seni pancingan yang melibatkan segala-galanya bersaiz mikro, baik dari segi joran, tali, umpan dan hasil tangkapan.

Bagi sesetengah pemancing, menangkap ikan saiz jari atau duit syiling mungkin dianggap remeh atau memalukan.

Namun di Jepun, pencapaian tersebut dilihat sebagai satu kemahiran yang tinggi nilainya.

Dalam komuniti pemancing tanago, semakin kecil saiz ikan yang berjaya ditangkap, semakin hebatlah tahap kemahiran memancing seseorang itu. Ia bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya satu seni halus yang menguji kepekaan dan disiplin pemancing.

Sejarah
Seni pancingan tanago ini dipercayai telah wujud sejak zaman Edo (1603-1868).

Ia merupakan salah satu aktiviti golongan bangsawan dan samurai bagi meningkatkan kadar ‘fokus’ mereka dengan ketelitian serta keterperincian menggunakan joran buluh kecil, sehelai rambut

panjang sebagai tali dan mata kail halus di hujungnya.

Ikan yang menjadi target mereka adalah spesies kecil yang dinamakan tanago atau Tokyo bitterling (Pseudorodeus tanago), sebesar duit syiling satu yen.

Sebab itu seni pancingan ini dinamakan tanago, bersempena nama spesies ikan tersebut.

Sehingga hari ini, teknik ini masih diamalkan dan terus berkembang sebagai satu tradisi unik dalam dunia memancing.

Peralatan

Apa yang membezakan pan­cingan tanago dengan teknik lain adalah penggunaan peralatan
yang sangat halus serta bersifat minimalis.

Joran tanago biasanya pendek, sekitar 90 hingga 150 sentimeter, serta diperbuat daripada bahan yang ringan dan fleksibel. Ia mampu melentur, walaupun hanya ikan bersaiz mikro yang meragut umpan.

Joran ini tidak menggunakan kekili, sebaliknya tali tangsi (monofilament) dalam lingkungan satu hingga empat paun diikat terus pada tip joran.

Tali yang halus ini bukan sahaja untuk meningkatkan sensitiviti, malah bagi memastikan persembahan umpan kelihatan semula jadi di dalam air.

Di Jepun, ikan tanago terkenal sebagai spesies ikan yang sangat sensitif dan mudah curiga, jadi penggunaan tali yang kasar boleh menakutkannya.

Mata kail tanago pula direka khas dalam saiz yang sangat kecil. Walaupun bersaiz mikro, namun ia sangat tajam dan mampu mencangkuk dengan mudah, walaupun dengan sentapan secara lembut.

Dalam pancingan tanago, teknik sentapan memainkan peranan penting.

Apabila ikan tercangkuk pada mata kail, pemancing perlu me­ngangkat joran secara perlahan dan terkawal bagi mengelak ikan terlepas.

Peralatan lain seperti perambut, pemberat dan pelampung juga direka dalam skala mikro.

Perambut biasanya pendek dan halus untuk meningkatkan kepekaan terhadap getuan.

Syiling 10 sen kelihatan lebih besar dari ikan hasil pancingan Tanago, namun itulah keunikan dan keseronokkannya.

Pemberat mikro pula digunakan sekadar untuk memastikan umpan tenggelam secara semula jadi tanpa menjejaskan pergerakannya.

Pelampung yang digunakan amat sensitif pada pergerakan kecil seperti tenggelam sedikit atau condong ke tepi sudah cukup memberi isyarat bahawa ikan sedang menjamah umpan.

Umpan
Pilihan umpan yang digunakan juga bersesuaian dengan saiz ikan buruan.

Antara umpan yang po­pular termasuk cacing halus yang dipotong kecil, roti dipotong halus, dedak serta larva serangga.

Bagi memudahkan pemancing, terdapat juga umpan khas tanago yang dijual di pasaran. Beli dan bancuh dengan air lagi mudah.

Boleh juga guna biskut tawar dengan cara hancurkannya bersama sedikit air, kemudian uli sehingga sebati dan menjadi seperti doh.

Kemudian masukkan ke dalam plastik, potong sikit pada bahagian bucu plastik untuk mengeluarkan umpan. Saiz umpan mestilah cukup kecil untuk digetu dengan mudah oleh ikan.

Walaupun kelihatan mudah, namun pancingan tanago sebenarnya menuntut tahap kesabaran dan fokus tinggi.

Pemancing perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelampung serta memahami tingkah laku ikan yang sangat halus.

Teknik ini juga memerlukan kawalan tangan yang baik kerana sentapan terlalu kuat boleh menyebabkan ikan terlepas.

Sementara sentapan yang terlalu perlahan mengurangkan peluang untuk mendapatkan ikan.

Saya harapkan di Malaysia, minat terhadap pancingan tanago berkembang maju, terutama dalam kalangan pemancing yang gemar mencuba perkara baharu.

Habitat ikan-ikan kecil seperti di parit, tali air, kolam kecil dan sungai yang cetek berpotensi menjadi lokasi sesuai untuk mempraktikkan teknik ini.

Walaupun spesies ikan mungkin berbeza daripada di Jepun, namun konsep dan cabaran yang ditawarkan tetap sama.

Kesimpulannya, seni pancingan tanago merupakan satu cabang unik dalam dunia pancing yang menekankan kehalusan, kesabaran dan kemahiran.

Ia mengajar pemancing untuk menghargai setiap detik dan memberi perhatian kepada perkara-perkara kecil yang sering diabaikan.

Dalam dunia pancing yang sering mengejar hasil besar, tanago hadir sebagai satu peringatan bahawa kepuasan memancing sebenar kadangkala terletak pada ikan paling kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN