fbpx
Gambar hiasan.

PGA ‘jaga’ 91 stesen minyak elak ketirisan bahan api bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memantau sebanyak 91 stesen minyak yang berisiko tinggi berlakunya ketirisan bahan api bersubsidi, khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 36 stesen minyak dikenal pasti sebagai ‘hot spot’, manakala 55 lagi merupakan lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan yang dipercayai dipengaruhi krisis tenaga global.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Fisol Salleh berkata, penugasan melibatkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, operasi dilaksanakan secara syif dengan penglibatan pegawai dan anggota PGA bersama elemen kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan di lokasi terlibat.

“Tumpuan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara pukul 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya penyelewengan.

“Bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dilakukan sepanjang masa tanpa henti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fisol berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha bersepadu antara PDRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkukuh penguatkuasaan di kawasan sempadan.

Beliau menambah, orang ramai turut diseru agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, sekali gus membantu memastikan kepentingan negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN