fbpx
Azri Fahmi Md Farid (kiri) bersama Alfian Basir melakukan gimik pelancaran Nuuna x Nasi Lemak Burung Hantu di NLBH Sri Hartamas, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Mi segera kini berperisa nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menu kebangsaan, nasi lemak kini dibawa ke tahap baharu apabila jenama mi segera, Nuuna berkolaborasi dengan restoran Nasi Lemak Burung Hantu (NLBH) bagi menghasilkan mi dan mihun goreng segera berperisa nasi lemak.

Kolaborasi tersebut dilihat sebagai usaha memperluaskan pengalaman menikmati hidangan tradisi itu kepada pengguna yang mahukan pilihan lebih pantas dan mudah tanpa perlu ke restoran.

Pengarah NLBH, Alfian Basir berkata, kerjasama itu menjadi langkah untuk mendekatkan jenama mereka dengan pelanggan yang sering berdepan kekangan masa, namun masih mengidamkan nasi lemak.
“Ini usaha kami untuk melanjutkan pengalaman pelanggan. Ada masanya mereka teringin nasi lemak, tetapi tidak sempat ke kedai.

“Jadi produk ini menjadi alternatif yang lebih mudah,” katanya pda sidang akhbar selepas majlis pelancaran Nuuna x Nasi Lemak Burung Hantu di NLBH Sri Hartamas, hari ini.

Menurutnya, cabaran utama dalam pembangunan produk itu adalah memastikan rasa yang dihasilkan mampu memberikan pengalaman yang hampir sama dengan hidangan asal.

“Kami buat banyak proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), ujian dan penambahbaikan supaya rasa itu sedekat mungkin. Bila makan, pelanggan dapat rasa sambal, kepedasan dan elemen seperti ikan bilis yang mengingatkan mereka kepada NLBH,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Serba Wangi Sdn. Bhd., Azri Fahmi berkata, pihaknya tidak mahu sekadar menghasilkan produk berinspirasikan Nasi Lemak, sebaliknya mahu mengekalkan identiti rasa sebenar yang dikenali rakyat Malaysia.

“Nasi lemak bukan sekadar perisa, ia sesuatu yang membesar bersama rakyat Malaysia. Sebab itu kami pilih rakan kolaborasi yang mempunyai profil yang jelas dan sudah dipercayai,” katanya.

Tambahnya, setiap komponen dalam mi dan mihun segera tersebut dibangunkan bagi mencerminkan elemen penting nasi lemak seperti tahap kepedasan sambal, aroma bawang goreng, rasa ikan bilis serta keseimbangan asam jawa.

“Pengguna hari ini mahukan makanan yang mudah tanpa mengorbankan rasa asli. Itu yang kami cuba capai melalui produk ini,” jelasnya.

Menurut Azri, keunikan kolaborasi itu juga terletak pada keupayaan membina kepercayaan pengguna melalui gabungan dua jenama yang sudah mempunyai pengikut tersendiri.

“Kami mahu hasilkan sesuatu yang lebih bermakna, bukan sekadar produk biasa di pasaran, tetapi sesuatu yang dekat dengan pengguna dan konsisten dari segi rasa,” katanya.

Mi dan mihun segera berperisa Nasi Lemak oleh Nuunu dan NLBH dijual pada harga RM7.99 dan kini boleh didapati secara eksklusif di rangkaian Jaya Grocer serta platform e-dagang seperti TikTok Shop, Shopee dan Lazada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN