PETALING JAYA – Tindakan seorang remaja lelaki yang meletakkan bungkusan nasi lemak di tangga sebuah blok pangsapuri setiap malam tepat pukul 10 akhirnya terbongkar, sekali gus mendedahkan tujuan sebenar ia dilakukan.
Perkara itu dikongsikan pengguna TikTok, @mrd_2512 yang memaparkan rutin pelik berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan penghuni blok tersebut.
Menurut perkongsian itu, setiap malam tepat pukul 10, satu bungkusan nasi lemak diletakkan kemas di penjuru tangga tingkat tujuh tanpa sebarang nota atau petunjuk.
Situasi tersebut menimbulkan tanda tanya apabila ada yang menganggap ia sebagai sedekah, malah tidak kurang juga berfikiran negatif termasuk mengaitkannya dengan perkara mistik.
Bercerita lanjut, pengguna itu berkata, seorang penduduk dikenali sebagai Mak Cik Timah yang sudah menetap hampir 18 tahun di blok berkenaan bertindak menyiasat perkara tersebut dengan menunggu di sebalik pintu kecemasan.
“Malam itu, dia menunggu di sebalik pintu kebakaran. Tepat pukul 10 (malam), seorang budak lelaki datang perlahan-lahan. Umur dalam 14 tahun. baju sekolah masih pakai, beg sandang lusuh di belakang.
“Dia letak nasi bungkus itu di tangga. Pandang kiri kanan, lepas itu terus turun. Mak Cik Timah tahan dia,” katanya.
Tambahnya, ketika ditahan, remaja itu mengakui dia hanya meninggalkan makanan untuk seorang lelaki tua yang tinggal di bahagian bumbung (rooftop) bangunan berkenaan.
“Dulu masa saya lapar di kedai mamak, saya tak ada duit. Pak cik itu yang belikan saya makan. Dia pesan, kalau dah besar nanti, tolong orang lain pula,” katanya.
Menerusi ringkasan perbualan yang dikongsikan, remaja itu memberitahu dia memilih untuk melakukannya secara senyap kerana lelaki berkenaan tidak mahu dikasihani orang ramai.
“Esoknya, satu blok tahu cerita sebenar. Tapi peliknya, sejak malam itu, bukan satu nasi bungkus yang ada di tangga. Ada dua. Lepas seminggu, jadi empat. Ada yang letak air mineral. Ada yang letak buah. Ada yang letak selimut nipis.
“Dan semuanya tanpa nama. Pak cik ‘rooftop’ itu akhirnya turun ke surau bawah blok selepas beberapa hari. Dia menangis bila tengok ramai orang salam dia seperti keluarga sendiri. Kadang-kadang satu kebaikan kecil tak berhenti pada seorang, ia berjangkit,” katanya. – KOSMO! ONLINE














