PETALING JAYA – Orang ramai berasa hairan apabila langkah bekerja dari rumah (BDR) yang sepatutnya dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya bermula hari ini dilaporkan tetap mengalami kesesakan yang lebih teruk berbanding kebiasaannya.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beberapa sektor tertentu untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan bahan api susulan krisis bekalan minyak yang semakin meruncing di pasaran global.
Bagaimanapun, rata-rata warga kota meluahkan rasa kecewa selepas mengalami kesesakan yang melampau di lebuh raya utama seawal pukul 6.25 pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @afzanitaa_, dia menyangka jalan raya akan menjadi lenggang susulan langkah BDR ini, namun realiti yang dihadapi adalah sebaliknya.
“Ingatkan hari ini boleh tenang-tenang fikir ramai dah mula BDR, tapi kenapa keluar awal pagi pun dah ‘bertempiaran’ kereta dekat luar ini. Pukul 6.25 pagi macam tak seperti hari-hari biasa yang bukan BDR,” katanya.
“Makin kerajaan sarankan BDR, makin jem pula,” ujar pengguna Mxsk.n7h.
Dalam pada itu, ramai berpendapat bahawa rutin harian menghantar anak ke sekolah menjadi punca utama jalan raya tetap padat dengan kenderaan.
Seorang pengguna iaitu Aanisfaraanim, berkata, pergerakan kenderaan pada awal pagi tetap tinggi kerana komitmen keluarga yang tidak dapat dielakkan.
“Mungkin ramai yang tinggal di satu kawasan tapi perlu menghantar anak ke sekolah di kawasan yang lain sebelum pulang semula ke rumah untuk memulakan tugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














