fbpx
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi semalam.

Wang tunai, barang kemas melimpah keluar dari beg – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pasukan polis menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari beg bagasi ketika serbuan di sebuah unit kediaman mewah di Pavilion Residence pada Mei 2018.

Bekas pegawai kanan polis Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat kerana ketika itu ia dikaitkan dengan 1Malaysia Deveplement Malaysia (IMDB) yang mana sebanyak 71 beg, satu kotak plastik dan 284 kotak telah ditemukan di kediaman mewah itu.

Menurutnya, semasa rampasan dibuat usaha untuk mengira setiap barang tidak dapat dilakukan kerana kandungan dalam beg terlalu padat dan tidak disusun dengan kemas.

“Apabila kami membuka beg wang tunai, kandungannya longgar dan mudah terkeluar. Begitu juga dengan beg barang kemas yang penuh sehingga sukar untuk dikendalikan. Jumlahnya terlalu banyak,” kata saksi bagi pihak ketiga dalam saman sebuah syarikat pemborong barang kemas terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pelanggaran kontrak berhubung kehilangan 44 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya.

Mengulas lanjut ketika serbuan itu, saksi itu berkata pada masa sama mereka juga tidak mempunyai peralatan seperti mesin penimbang selain kekurangan kepakaran untuk menilai ketulenan barang kemas selain keadaan premis yang tidak mempunyai penghawa dingin turut menyukarkan proses pengiraan dijalankan di situ.

Berikutan keadaan itu pihaknya kemudian memutuskan untuk menutup semula semua beg dan membalutnya menggunakan plastik bagi memastikan keselamatan serta integriti barang rampasan dan kesemua beg tersebut kemudian dihantar ke lokap di Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Sementara itu menjawab soalan peguam saksi itu berkata beg berkenaan yang tidak berkunci, telah dengan balutan plastik bagi mengelakkan ia dibuka tanpa kebenaran.

“Mahkamah turut diberitahu bahawa proses pemindahan barang rampasan dilakukan secara berperingkat dari premis ke lif, seterusnya ke lobi sebelum dimuatkan ke dalam lima kenderaan khas yang dikawal ketat oleh polis.
Setiap pergerakan dipantau dan dilaporkan. Setelah dimuatkan, semua kenderaan diiringi pasukan polis ke Bukit Aman bagi memastikan keselamatan barang rampasan,” Ujar saksi itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon bersambung lagi petang ini.

Pada 2023, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut AS$14.57 juta (RM67.46 juta) atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 44 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya.

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan.

Global Royalty berkata adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Sekiranya ia tidak dapat dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif kos barang kemas berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan AS$14,567,270 selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN