PETALING JAYA – Penggunaan senjata api semata-mata untuk memudahkan urusan penyembelihan haiwan korban tanpa sebarang keperluan atau darurat adalah haram di sisi syarak.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profeesor Dr. Rozaimi Ramle berkata, haiwan ternakan yang ditembak sehingga mati sebelum sempat disembelih akan menjadi bangkai dan tidak halal dimakan.
Menurutnya, penggunaan senjata api hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti haiwan ternakan menjadi liar atau ganas sehingga berpotensi membahayakan nyawa manusia.
“Pada asalnya, haiwan ternakan jinak yang ditembak kemudian mati, maka haiwan itu menjadi bangkai. Ia tidak boleh dimakan dan hukumnya haram.
“Demikian juga perbuatan sengaja menggunakan senjata api semata-mata untuk memudahkan urusan penyembelihan juga hukumnya haram,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Katanya, sekiranya haiwan ternakan yang mengganas ditembak menggunakan ubat penenang atau kaedah lain yang tidak menyebabkan kematian atau kecederaan parah sebelum disembelih, maka sembelihan tersebut adalah sah.
Tambahnya, jika haiwan yang menjadi liar itu mati akibat tembakan atau panahan ketika usaha mengawalnya, ia masih halal dimakan mengikut pandangan yang rajih dengan syarat lafaz bismillah dibacakan sebelum tembakan atau panahan dilepaskan.
Jelasnya, perkara itu bersandarkan hadis Rasulullah SAW mengenai seekor unta yang melarikan diri sebelum dipanah bagi menghentikan pergerakannya, lalu baginda membenarkan tindakan sedemikian terhadap haiwan ternakan yang bertindak seperti haiwan liar.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan senjata api oleh orang awam tertakluk kepada undang-undang dan memerlukan lesen yang sah.
“Kesemua perkara perlu berlandaskan undang-undang dan juga bertepatan dengan hukum syarak.
“Apabila melibatkan hukum, bukan hanya melibatkan sah atau tidak, namun perkara utama ialah ihsan terhadap haiwan sebagaimana dituntut dalam Islam,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis membuka siasatan berhubung penularan video yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dipercayai menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian itu meskipun setakat ini tiada laporan rasmi diterima daripada mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE














